Kampus & Pendidikan 09 Dec, 2025

Catat sejarah! Hafiz al-Quran terima Anugerah Canselor MMU! Doa ibu bapa penting untuk kejayaan!

Share this

Majlis Konvokesyen Multimedia University (MMU) 2025 mencatat sejarah apabila graduan Ijazah Sarjana Muda Multimedia (Realiti Maya), Muhammad Faris Fiqran Muhamad yang merupakan seorang hafiz al-Quran, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor.



Muhamad Faris, 22, diumumkan sebagai penerima anugerah tertinggi berkenaan selepas pengisytiharan rasmi pembukaan sesi oleh Tun Zaki Tun Azmi, Canselor MMU, di Cyberjaya pada 6 Disember 2025.

Beliau yang berasal dari Gua Musang, Kelantan berkata, rahsia kejayaannya adalah selalu meminta agar ibu bapa mendoakannya, memilih kawan yang baik dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap perkara diceburi.

“Sumber inspirasi saya untuk berusaha gigih dalam setiap perkara datang daripada ibu saya, yang melakukan tiga pekerjaan setiap hari demi keluarga. Saya dedikasikan kejayaan ini kepada beliau,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen MMU 2025.



Faris berjaya menghafaz 30 juzuk al-Qur’an ketika berada di Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut. 

Setelah memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menyambung pengajian di MMU dan seterusnya bergraduasi dengan Ijazah Sarjana Muda Multimedia (Kepujian) Realiti Maya dengan CGPA 3.81.

Walaupun berlatar belakang bekas pelajar sekolah agama namun beliau dapat menyesuaikan diri dalam suasana kampus dan mengikuti mata pelajaran berasaskan teknologi tinggi kerana sentiasa diberi bimbingan oleh para pensyarah dan rakan-rakan di MMU. 

“Persekitaran yang kondusif di MMU membantu saya memberi tumpuan kepada pelajaran serta mendorong saya untuk aktif menyertai pelbagai program pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Faris muncul Johan dan penerima People’s Choice Award di The Trophy International Public Speaking Competition 2025, serta johan Pertandingan Pidato Peranti Perubatan IPT 2025, Johan bagi Pertandingan Pidato Ekspo Buku Malaysia 2024 dan Johan di Pertandigan Sayembara Deklamasi Puisi Sains & Teknologi 2024. 

Projek tahun akhir beliau berjudul, Layangan Warisan, turut memperoleh geran RM135,000 daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Dalam bidang inovasi, beliau meraih Pingat Emas dan Best Project Champion di iNVENTX 2025, Gold Award, Top 5 Award dan Best Video Award di Virtual Innovation Challenge 2025, selain memenangi Pingat Emas di 1st World Innovation in STEM Competition 2025 serta tempat 3 Teratas dan Pingat Emas di ICERI Innovation Competition 2025.


 


Faris juga terpilih sebagai seorang daripada 15 pelajar di dunia, dan satu-satunya dari Malaysia yang menerima biasiswa penuh Kedutaan Perancis ke Gobelins Paris Summer School 2025, serta tersenarai dalam 10 penerima tertinggi Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025. 

Beliau turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang 2024 daripada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) di bawah program Premier Digital Tech Institution (PDTI), sekali gus menjadi penerima pertama anugerah tersebut daripada MMU sejak universiti itu menyertai PDTI. - KitaReporters/MMU

7
10
0
9
0
You will be interested