PELAJAR hari ini adalah pemimpin masa hadapan. Mereka adalah barisan pelapis yang bakal menerajui negara sebagai penyambung warisan kepimpinan masa kini.

Perkhemahan Perdana Unit Beruniform SK Sungai Buloh, Hutan Melintang, Perak tahun 2025 bermatlamat membentuk murid yang kental fizikal dan mental serta memilik sahsiah diri yang tinggi.
Kerana itu amat penting mereka dididik dari peringkat awal persekolahan agar memilik ciri-ciri kepimpinan terpuji.
Mereka bukan sahaja perlu cemerlang dalam pelajaran tetapi mempunyai sahsiah diri dan akhlak mulia, di samping kekuatan fizikal dan mental.
Menyedari
hakikat ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buloh, Hutan Melintang, Perak
menganjurkan Perkhemahan Perdana Unit Beruniform (PPUB) 2025 di bawah kelolaan unit Tunas
Kadet Remaja Sekolah (TKRS) sekolah tersebut.
TKRS ialah unit beruniform bagi sekolah rendah. Pada peringkat sekolah menengah pula, ia dikenali sebagai Kadet Remaja Sekolah (KRS).

Murid dan guru pengiring SK Sungai Buloh yang menyertai perkhemahan Tunas Kredit Remaja Sekolah (TKRS) di UPSI, Tanjung Malim, Perak.
Perkhemahan TKRS SK Sungai Buloh yang disertai 44 orang murid telah diadakan dari 4 hingga 5 Disember lalu di Adventure Park, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
Untuk
rekod, SK Sungai Buloh terletak dalam daerah Bagan Datuk, Perak, dalam kawasan Parlimen Bagan Datuk dan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang,
satu daripada dua kawasan DUN dalam Parlimen Bagan Datuk selain Rungkup.
Dalam perkheman tersebut, murid-murid didedahkan kepada latihan ketahahan fizikal dan mental melalui aktiviti seperti berjalan kaki alam semua jadi (nature walk), halangan (obstacles), berjalan malam, pendakian tiga dan enam meter serta ‘absailing’.

Memanjat tembok antara cabaran diharungi murid SK Sungai Buloh yang menyertai perkhemahan TKRS.

'Absailing' satu lagi aktiviti mencabar peserta perkhemahan TKRS SK Sungai Buloh.
Kesemua aktiviti ini menguji ketahanan dan kekuatan murid apabila berhadapan dengan pelbagai situasi mencabar.
Latihan yang diberi memupuk semangat kental dalam diri dan tidak mudah mengalah apabila berdepan cabaran.
Ini sesuai dengan matlamat TKRS yang diwujudkan pada Mac 1999 khas untuk murid-murid sekolah rendah di Malaysia.
Ia bertujuan membantu mengembangkan semua aspek potensi diri murid berdasarkan ilmu dan amal ke arah pembinaan dan pengukuhan sahsiah.
Selain itu ia bertujuan membentuk generasi pelajar yang menjiwai semangat perpaduan dan memiliki ketrampilan diri.

Solat berjemaah dilakakukan sepanjang perkhemahan TKRS SK Sungai Buloh di UPSI Tanjung Malim.
Dari aspek disiplin, TKRS melatih pelajar agar berdisiplin, berdaya saing, kreatif
dan berinovasi dalam menghadapi cabaran hidup. Ia juga berperanan menangani
masalah salah laku dalam kalangan pelajar remaja.
Bagi memastikan mereka selesa, peserta TKRS SK Sungai Buloh ditempatkan di khemah dalam kawasan yang bersih, selesa dan selamat.
Solat berjemaah dilakukan apabila masuk waktu. Makan minum dijaga dengan baik, disediakan oleh guru pengiring.

Makan bersama-sama dengan rakan memupuk semangat setiakawan dan kemesraan di kalangan murid.

Khemah yang bersih, selesa dan selamat disediakan untuk peserta perkhemahan TKRS SK Sungai Buloh.
Yang penting, pengalaman dan ilmu yang ditimba daripada perkhemahan tersebut mampu menjadi benteng diri dan pegangan hidup murid buat selamanya.
Justeru tahniah kepada unit TRKS yang mengendalikan perkhemahan tersebut dengan jaya.
Tidak lupa tahniah dan terima kasih kepada guru-guru pengiring yang turut menguruskan para peserta dari mula hingga tamat perkhemahan.
Tidak dilupakan terima kasih kepada ibu bapa yang memberi peluang anak-anak beraktiviti dan mencuba pengalaman baharu. Juga terima kasih kepada para fasilitator dari UPSI Adventure Park yang membimbing para peserta.
Diharap bimbingan yang diberi memberi manfaat dan panduan berharga dalam membina jati diri menempuhi kehidupan lebih mencabar. - KitaReporters

Guru pengiring menyediakan makanan untuk peserta perkhemahan TKRS SK Sungai Buloh. Tentu enak!