Kampus & Pendidikan 13 Dec, 2025

Santuni anak yatim! Program Khidmat Masyarakat! 25 pelajar berbakti! Aplikasikan kemahiran teknikal!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Seramai 25 pelajar Semester 1 dan 3 daripada Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Pengurusan Rantaian Bekalan), Politeknik Ungku Omar (PUO) telah melaksanakan Program Khidmat Masyarakat (PKM) di Rumah Anak Yatim Darul Hikmah, Kampung Sungai Itek, Gopeng, Perak.


Program Khidmat Masyarakat (PKM) PUO di Rumah Anak Yatim Darul Hikmah, Kampung Sungai Itek, Gopeng.


Program selama dua hari pada 7 dan 8 Disember 2025 lalu bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran teknikal serta menyemai nilai kesukarelawanan dalam suasana pembelajaran berimpak tinggi bersama komuniti.

Aktiviti utama diadakan seperti pemasangan lampu solar bagi meningkatkan pencahayaan dan keselamatan, kerja-kerja pembaikan kecil di blok asrama 35 orang anak yatim, serta aktiviti sukan dan riadah santai bersama anak-anak yatim.

Hubungan mesra yang terjalin menjadikan pengalaman ini lebih bermakna buat semua yang terlibat.


Pelajar PUO yang menyertai PKM menunjukkan isyarat bagus selepas tamat program PKM.

Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, program seperti ini adalah manifestasi nilai teras PUO iaitu mendidik bukan sekadar untuk kecemerlangan akademik, tetapi juga melahirkan insan yang bertanggungjawab, cakna dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Saya bangga dengan komitmen pelajar dan pensyarah yang menjayakannya,” katanya dalam kenyataan media.

Ketua Program, Dr. Rosmawati Mat Jihin berkata, program seperti ini memberikan pengalaman di lapangan bukan sahaja meningkatkan kemahiran pelajar tetapi membentuk empati dan jati diri sebagai warga TVET.


Sebahagian pelajar PUO yang menyertai PKM di Rumah Anak Yatim Darul Hikmah di Gopeng, Perak.

Selain itu, pihak pengurusan Rumah Anak Yatim Darul Hikmah turut merakamkan penghargaan kepada PUO atas keprihatinan dan sumbangan yang menceriakan persekitaran rumah serta memberikan keceriaan buat anak-anak yatim.

PUO akan terus memperkasakan penglibatan komuniti sebagai sebahagian usaha melahirkan graduan TVET yang kompeten, beretika dan berjiwa masyarakat. - KitaReporters

13
12
0
15
0
You will be interested