Kampus & Pendidikan 02 Dec, 2021

UPM turun padang! Kongsi ilmu secara hibrid projek tanaman cili! Pertanian kini satu perniagaan!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


KEPIMPINAN melalui teladan menunjukkan kredibiliti seseorang pemimpin yang disegani dan disanjungi. Jangan hanya tahu mengarah itu dan ini tetapi langsung tidak turun padang menjenguk anak-anak buah.

Justeru, berpegang kepada prinsip tersebut, Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) turun padang berkongsi ilmu melalui penganjuran bengkel dan praperasmian Aimac: Projek MegaChili yang dibuat secara hybrid di Auditorium Rashdan Baba serta di tapak fertigasi cili di Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) di Serdang, Selangor dan secara Google Meet dengan peserta di UPM, Kampus Bintulu (UPMKB).

Bengkel berlangsung 6 November 2021 melibatkan teori serta amali itu disempurnakan perasmiannya oleh Pengarah ARCUPM, Prof Madya Dr Arba’ie Sujud.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UPM


Majlis Program yang ulung kalinya dilakukan secara bersemuka dan secara hibrid setelah negara memasuki PPN Fasa ke-4.


Menurut beliau,  pelaksanaan program berkenaan sebagai langkah pertama yang hasilnya nanti boleh dijadikan kayu ukuran bagi pelaksanaan projek-projek seterusnya. 

"Saya yakin dan percaya, semua peserta terlibat mendapat satu pengalaman berharga serta semangat untuk ceburkan diri dalam bidang pertanian yang kini merupakan satu perniagaan bukan lagi sekadar sara diri. Mereka kelak bukan lagi sebagai petani biasa tetapi luar biasa.

"Paling penting jangan takut untuk membuka langkah pertama kerana langkahan awal ini lah yang akan membawa kita melangkah ke seterusnya. 

"Ini merupakan langkah pertama kita dan bolehlah dikatakan projek perintis, walaupun hasilnya masih tidak kelihatan namun saya percaya ia akan membuahkan kejayaan seperti diharapkan," katanya. 

Tambah beliau, komitmen dan sokongan pihak pengurusan universiti terutamanya daripada Naib Canselor UPM, Prof Dr Roslan Sulaiman meningkatkan lagi semangat semua yang terlibat dan begitu juga dengan kerjasama serta sejumlah peruntukan diberikan Jabatan Pertanian Negeri Selangor. 


Bengkel ini memberi fokus persediaan ke arah penanaman cili agar para peserta lebih memahami teknik fertigasi sebenar.


Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian, Taman Pertanian Universiti (TPU) UPM, Saiyyidina Hamzah Muhammad @ Mamat, Alumni Kelas 2017 berkata cili adalah tanaman sukar dan perlukan komitmen tinggi apatah lagi jika dijalankan pada musim hujan.

Katanya, yang dijemput selaku panel untuk perkongsian ilmu bersama peserta Projek MegaChili 2021, jika berjaya dilakukan pada musim hujan harga cili pastinya akan meningkat.

"Bengkel dilaksanakan ini turut memberi fokus persediaan ke arah penanaman cili supaya para peserta lebih memahami teknik fertigasi yang sebenar.

"Ini merupakan julung kalinya bengkel dan amali dilakukan secara bersemuka setelah negara memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa ke-4, namun bagi peserta berada di UPM, Kampus Bintulu (UPMKB) mereka boleh ikuti secara dalam talian menerusi Google Meet," ujarnya. 

Terdahulu, sebanyak lima buah kolej kediaman terlibat dalam projek ini dan diharapkan dengan pelbagai bengkel dan majlis praperasmian secara hybrid ini dapat menyuntik semangat para peserta untuk bersungguh-sunguh dan komited dalam melaksanakan projek ini.

Seterusnya dapat merealisasikan hasrat universiti dalam memacu pertanian berteknologi tinggi dan seterusnya membangunkan karektor graduan UPM. - KitaReporters


Semoga satu hari nanti peserta bakal menjadi petani yang luar biasa.

2
12
0
17
0
You will be interested