Kampus & Pendidikan 23 May, 2021

A-Smart Lu’bah: Inovasi UPSI untuk PdP, PdPR bahasa Arab! Didik hibur, belajar sambil bermain!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


ERA pandemic Covid-19 yang melanda dunia telah memberi kesan kepada banyak sektor dan mengubah norma kehidupan sedia ada kepada norma baharu

Sektor pendidikan negara adalah antara sektor yang banyak menerima kesan daripada pandemic covid-19 ini. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka terpaksa dihadkan dan diganti dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian atau dikenali dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PdPR

Dr Saipolbarin Ramli  bersama rakan penyelidik, Mohammad Taufik  Abdul Ghani (kanan) dan Mohd Zawawi Awang Hamat (kiri).


Justeru, pensyarah kanan di Jabatan Bahasa Moden, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Madya Dr Saipolbarin Ramli berjaya membangunkan produk inovasi untuk pengajaran bahasa Arab bagi memastikan para pelajar tidak terus tercicir, kerana aktiviti PdPR dilihat berperanan besar bagi memastikan kelangsungan pembelajaran pelajar dapat diteruskan. 

Menurut satu kenyataan media UPSI, beliau berkata aktiviti PdPR ini walaupun baharu, tetapi ia tetap perlu dilaksanakan dan semua pihak perlu menyokong dan memainkan peranan dalam memastikan ia berjalan lancar. 

PdPR ini tidak hanya digalas oleh guru-guru di sekolah dan para pensyarah di universiti sahaja, tetapi ibu bapa dan para pelajar yang berada di rumah juga perlu memainkan peranan masing-masing.

Pembangunan gamifikasi pintar A-Smart Lu’bah dilihat amat bersesuaian dan bertepatan untuk dipraktikkan secara meluas bagi menyokong dan membantu aktiviti PdPR bahasa Arab," kata Dr Saipolbarin dalam kenyataan tersebut.

A-Smart Lu’bah, katanya, merupakan model gamifikasi pintar permainan bahasa Arab yang dibangunkan bertujuan untuk menyediakan suatu medium alternatif dalam aktiviti PdP bahasa Arab di Malaysia

Model gamifikasi A-Smart Lu’bah ini merupakan hasil gabungan idea inovasi oleh pakar bahasa Arab UPSI yang diketuai Prof. Madya. Dr. Saipolbarin Ramli bersama-sama ahli kumpulan yang lain iaitu Mohammad Taufik Abdul Ghani dan Mohd Zawawi Awang Hamat dengan dibiayai Geran Penyelidikan Dalam UPSI (GPU)

Ia dibangunkan dengan menggunakan pendekatan konsep didik hibur dan belajar sambil bermain.

Dr Saipolbarin berkata A-Smart Lu’bah dibangunkan dengan menggunakan dwibahasa dan merupakan gamifikasi pembelajaran bahasa Arab yang mesra pengguna, ringkas serta menarik. Ia dilengkapi dengan manual penggunaan, nota kandungan, latihan kendiri dan rekod penggunaan. 

Selain itu, penyediaan contoh jawapan dalam bentuk audio melalui imbasan QR kod dan penggunaan teknologi Augmented Reality (AR) atau Realiti Terimbuh secara tidak langsung dapat menarik minat pelajar dan meransangkan motivasi mereka untuk belajar. Melihat kepada senario sedia ada, aktiviti PdP bahasa Arab di Malaysia lebih tertumpu kepada kaedah streotaip yang memberi fokus kepada aktiviti terjemahan dari bahasa penutur dan aktiviti menghafal. 


Infografik tentang inovasi A-Smart Lu’bah


Pembangunan A-Smart Lu’bah ini adalah sebagai satu medium alternatif yang boleh digunakan dalam aktiviti PdP bahasa Arab dengan menggabungkan elemen-elemen interaktif, teknologi, cybergogy, heutagoy dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). A-Smart Lu’bah ini berupaya untuk yang menjadikan aktiviti PdP secara kolaboratif dan berpusatkan pelajar bersesuaian dengan pendekatan pembelajaran Education 4.0.

Menurut Dr Saipolbarin pembelajaran berasaskan kepada pengalaman dan pelajar dilibatkan secara langsung dalam gamifikasi A-Smart Lu’bah ini. Gamifikasi ini dibangunkan dengan berpandukan model Instruksional ADDIE dan juga model Integrasi Teknologi oleh Roblyer dengan memberi fokus kepada lapan tajuk utama yang terdapat dalam kurikulum Bahasa Arab di Malaysia. 

Tajuk-tajuk ini seterusnya distrukturkan dalam bentuk permainan bahasa menggunakan formulasi kaedah pola ayat yang diolah semula daripada formula asal struktur ayat dalam bahasa Arab dan terdiri daripada tiga aras iaitu aras mudah, sederhana dan sukar. 

Tajuk permainan ini ialah Smart Tarkib Idafiy 1, Smart Tarkib Idafiy 2, Smart Tarkib Na’tiy, Smart Tarkib Asas al-Jumal, Smart Jumlah Ismiyyah 1, Smart Jumlah Fi’liyyah dan Jumlah Ismiyyah, Smart Jumlah Ismiyyah 2 dan Smart Jumlah Fi’liyyah. Setiap tajuk ini distrukturkan dalam kad permainan dengan lapan warna yang berbeza untuk setiap satu.

A-Smart Lu’bah yang dibangunkan ini telah disebar luas penggunaannya tidak terhad kepada para pelajar pada peringkat universiti sahaja, tetapi juga sesuai untuk digunakan di sekolah-sekolah yang mempunyai aliran bahasa Arab. 

Kajian rintis telah dilakukan dibeberapa buah sekolah menengah di negeri Perak, Selangor dan Pahang menunjukkan terdapatnya perubahan sikap terhadap pelajar sebelum dan selepas perlaksanaan A-Smart Lu’bah ini. 

Selain itu A-Smart Lu’bah juga telah mendapat pengiktirafan dengan memenangi lima pingat emas, dua pingat perak dan satu johan keseluruhan di pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Terdapat beberapa syarikat swasta tempatan yang menunjukkan minat untuk bekerjasama bagi memasarkan A-Smart Lu’bah ini.

Dr Saipolbarin berkata berpegang kepada konsep “Pembelajaran Bahasa Arab adalah sesuatu yang menyeronokkan dan mudah”, A-Smart Lu’bah yang dibangunkan ini diharapkan dapat memberi nafas baharu dalam aktiviti PdP bahasa Arab di Malaysia

“Selain itu dengan pembangunan inovasi A-Smart Lu’bah ini juga dapat memberi ruang dan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk mempelajari bahasa Arab dengan kaedah yang mudah, pantas dan menyeronokkan di samping dapat memberi cetusan idea kepada para penyelidik bahasa Arab untuk membangunkan inovasi-inovasi yang berkaitan dangan aktiviti PdP bahasa Arab pada masa hadapan” katanya dalam kenyataan itu. - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested