Kampus & Pendidikan 14 Dec, 2022

Tahniah! 1,601 graduan UMT dirai pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-20! Sedialah hadapi realiti hidup!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


Sekeluarga dari luar negara bergambar kenangan sempena Konvokesyen Ke-20 UMT.


SERAMAI 1,601 graduan diraikan dengan penuh istiadat dan secara gilang gemilang pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-20 yang berlangsung selama empat sesi bermula 11 hingga 12 Disember 2022. 

Mereka yang diraikan terdiri daripada 171 graduan pascasiswazah, 1297 graduan Sarjana Muda dan 133 graduan Diploma.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan majlis-majlis konvokesyen

Sultanah Terengganu menyampaikan titah ucapan pada majlis Konvokesyen Ke-20 UMT


Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan membuka sidang pertama Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-20 itu di Dewan Sultan Mizan, UMT pada 11 Disember 2022. 

Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT dalam titah baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan UMT dan penerima anugerah pada majlis berkenaan.

"Beta berharap para graduan perlu bersedia menghadapi realiti hidup yang mencabar, bukan sahaja dari segi kemahiran dan kesediaan fizikal untuk memenuhi keperluan pasaran kerja, malahan wajib melengkapkan diri dengan adab dan akhlak yang terpuji,” titah baginda.


Sultanah Terengganu menyampaikan skrol kepada salah seorang mahasiswa


Pada majlis itu Sultanan Nur Zahirah turut berkenan menyampaikan skrol dan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan kepada Datuk Dr. Annabel Teh Gallop atas kepakaran dan sumbangan beliau dalam bidang ketamadunan Islam, budaya, seni dan warisan Melayu Asia Tenggara.

Beliau turut berkolaborasi Bersama UMT sebagai rakan kerjasama dalam Pameran Manuskrip Al-Quran Emas Warisan Kesultanan Terengganu 2018, serta turut menjadi pakar rujuk antarabangsa dalam usaha UMT, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Jabatan Warisan Negara mencalonkan Mushaf al-Quran Terengganu sebagai ‘Memory of The World - UNESCO’.


Mahasiswa UMT yang hadir pada Majlis Konvokesyen Ke-20


Pada majlis itu juga, Datuk Rozano Saad,  65, sebelum ini merupakan Pengarah Urusan Shell dan Ketua Petronas Downstream Business Excellence turut dilantik sebagai Profesor Adjung UMT dan telah membawa kerjasama industri-UMT dalam mencapai matlamat kemampanan bagi menyelesaikan isu alam sekitar.

Malah, kepakaran serta sumbangan bakti beliau kepada negara dan dunia juga tidak dapat disangkal. Beliau turut menerima skrol ijazah kehormat daripada Sultanah Nur Zahirah. 

Turut diraikan pada majlis tersebut adalah penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Anugerah Naib Canselor. 

Menurut Naib Canselor UMT Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar, UMT terus komited memacu kecemerlangan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran dengan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Blueprint Kebolehpasaran Graduan dan penawaran program pengajian berimpak tinggi yang relevan dan berteraskan industri.

Tambahnya UMT turut memfokuskan pembangunan program pembelajaran sepanjang hayat dan pemerkasaan proses pemantauan perkembangan pencapaian pelajar agar graduan berkualiti dapat dihasilkan.


Kegembiraan jelas kelihatan pada wajah mahasiswa yang berjaya menerima ijazah masing-masing.


Sementara itu, tiga graduan orang kurang upaya (OKU) iaitu Mohammad Amirul Aiman Mohd Rodzi, Siti Nur Athirah Abdul Talib dan Indran A/L Arumugam masing-masing merupakan graduan Sarjana Muda Kaunseling dan Sarjana Muda Perakaunan turut diraikan pada majlis konvokesyen kali ini. 

Penganugerahan Ijazah Anumerta turut disampaikan kepada ibu bapa Allayarhamah Fatin Nabila Kamaruddin, Sarjana Muda Perakaunan yang telah meninggal dunia akibat kanser darah pada September 2021. - KitaReporters


Gerai jualan memeriahkan suasana sempena Majlis Konvokesyen UMT

 

10
18
1
11
0
You will be interested