Kampus & Pendidikan 07 Oct, 2024

ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation berjaya! Projek UiTM fokus kepada pembangunan komuniti!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation (Projek Kesukarelawanan ASEAN: Bangsa Pengasuhan) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej Meranti dan Kolej Seroja UiTM Shah Alam dengan kerjasama Surau Al-Ansor Seksyen 2, Shah Alam serta sokongan penuh daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM, khususnya Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, telah berjaya dilaksanakan di Malaysia dan Thailand. 

Program ini berfokus kepada pembangunan komuniti, khususnya anak-anak yatim, dengan melibatkan kerjasama erat antara komuniti, industri, dan alumni, serta memberikan impak positif kepada kedua-dua negara. 

Objektif ini adalah selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dan hasrat Kerajaan Malaysia Madani dalam memperkasakan mahasiswa bermutu tinggi.

Di Malaysia, Persatuan Kebajikan Anak Yatim Perlis (PKAYP) menjadi tumpuan program di mana perpustakaan mini telah ditubuhkan untuk memberi akses kepada bahan bacaan dan meningkatkan tahap pendidikan anak-anak yatim. 

Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM menyumbangkan buku-buku yang akan dimanfaatkan oleh anak-anak yatim bagi memperkukuh literasi dan pembelajaran mereka. 

Program ini telah memperlihat penglibatan erat antara institusi pendidikan dan komuniti tempatan dalam usaha memajukan kesejahteraan pendidikan. 



Di Thailand, penglibatan sukarelawan di Masjid Ban Nuea di Songkhla turut memberi manfaat besar kepada komuniti setempat. 

Sukarelawan turut terlibat dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar melalui pelepasan anak ketam di Pantai Samilla. 

Aktiviti ini, yang dilaksanakan dengan kerjasama Rajamangala University of Technology Srivijaya (RMUTSV) dan Southern Gulf Fisheries Research and Development Center (Songkhla), bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem laut dan memberi manfaat kepada komuniti nelayan tempatan. 

Program Boxes of Hope yang dijalankan di Thailand disokong oleh syarikat Adabi Consumer melalui pengagihan barangan keperluan asas produk Adabi diberikan kepada golongan asnaf, anak-anak yatim, dan warga emas di sekitar Masjid Ban Nuea. 

Ini membantu meringankan beban komuniti setempat dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. 

Penglibatan industri dan alumni UiTM turut memainkan peranan besar dalam menjayakan program ini. 

Kidz Studios Printing, milik alumni UiTM, telah menaja pakaian rasmi untuk sukarelawan memastikan keseragaman dan semangat kebersamaan dalam kalangan peserta. 

Sumbangan daripada Dr. Azri’s Perfume dalam bentuk barangan untuk perpustakaan seperti rak buku, tikar, dan kertas dinding, turut melengkapkan perpustakaan mini di PKAYP dan Sekolah Masjid Ban Nuea, mewujudkan ruang pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif. 

Sokongan tambahan daripada Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan syarikat Al-Ikhsan memperkukuh lagi keberkesanan program ini.

Wakil CSR daripada Al-Ikhsan juga hadir di PKAYP untuk berkongsi ceramah motivasi kepada anak-anak yatim, memberikan inspirasi dan dorongan untuk menghadapi cabaran hidup dan mencapai kejayaan. 

Secara keseluruhan, ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation berjaya menyatukan pelbagai pihak dalam usaha memperkasa komuniti di Malaysia dan Thailand. 

Melalui sokongan erat daripada komuniti, industri, dan alumni, program ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesejahteraan golongan yang memerlukan, tetapi juga memperkukuh hubungan antara dua negara melalui nilai kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
12
0
13
0
You will be interested