Kampus & Pendidikan 29 Nov, 2024

Bila ABAH Bersuara| Dah bayar belum? Hutang PTPTN RM32b! Bayarlah! Beri peluang kepada pelajar lain!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan institusi pengajian tinggi awam yang menampung paling ramai pelajar, khususnya pelajar Bumiputera.


APA yang boleh dilakukan dengan wang RM32 bilion? Sangat banyak. 

Boleh mendirikan sekolah, masjid, institusi pengajian tinggi (IPT), membina jalan dan pelbagai kemudahan infrastruktur, menyediakan kemudahan seperti pengangkutan awam dan lain-lain.

Dengan wang sebanyak itu juga, fikirkan berapa ramai pula pelajar boleh dibantu untuk menyambung pengajian ke IPT awam dan swasta melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)? 

Jawabnya memang ramai akan beroleh manfaat.

Tetapi malangnya apa yang terjadi ialah wang RM32 bilion itu adalah jumlah yang tersangkut lantaran sebahagian besar peminjam PTPTN tidak melangsaikan pinjaman mereka sejak beberapa tahun lalu.

Setiap tahun jumlah tertunggak terus bertambah.



Memetik kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, sebanyak 2.7 juta pinjaman PTPTN belum dibayar sehingga kini, yang melibatkan tunggakan RM32 bilion.

Menurut rekod, hingga tahun lepas PTPTN meluluskan 3,951,404 pinjaman berjumlah RM71 bilion.

Sebanyak 2.8 juta pinjaman atau 72 peratus diberi kepada pelajar Bumiputera. Sebanyak 1.1 juta pinjaman atau 28 peratus pelajar bukan Bumiputera.


Salah sebuah pejabat PTPTN di Kuala Lumpur. Perbadanan ini menyediakan kemudahan untuk pelajar ke IPT dengan memberi pinjaman yang perlu dibayar balik.


PTPTN adalah ibarat tempat bergantung harap pelajar mencapai impian ke menara gading. Banyak wang diperlukan untuk memasuki IPT, sama ada untuk membayar yuran atau untuk perbelanjaan semasa belajar.

Semua pelajar rakyat Malaysia yang berjaya ke IPT, awam atau swasta, serta politeknik layak memohon. Tiada cagaran atau jaminan diperlukan untuk memperoleh pinjaman. 

Cuma syarat pinjaman ialah membayar balik setelah tamat pengajian menurut jadual ditetapkan.

Sebagai menggalakkan prestasi cemerlang dalam pengajian, PTPTN memberi kelonggaran tidak perlu membayar balik untuk pelajar yang mencapai ijazah kepujian kelas pertama. Jika mahu pengecualian, capailah kecemerlangan.  

Selain kelompok kelas pertama ini, peminjam mesti membayar balik. Ini adalah tanggung jawab moral. Sudah meminjam bayar balik. Usah buat-buat lupa atau sengaja tidak peduli ada kewajipan melunaskan hutang. 


Setiap pelajar IPT mahu beroleh kejayaan cemerlang. Bantulah mereka mencapai impian ini dengan membayar balik pinjaman PTPTN.  


Tetapi nampaknya kewajipan membayar balik tidak dipedulikan sehingga begitu ramai masih berhutang melibatkan jumlah yang besar. 

Sedarlah bayaran balik ini sangat penting untuk memastikan kedudukan kewangan PTPTN terus kukuh bagi membolehkannya membantu pelajar lain.

Jelasnya ia seperti tabung pusingan. Jika hanya ada wang keluar tetapi tidak ada wang masuk lantaran kedegilan membayar hutang, bagaimana tabung ini boleh berpusing untuk menyantuni pelajar lain?

Peminjam mesti menyedari hakikat ini. Jangan pentingkan diri sendiri. Setelah berjaya dalam pelajaran, lupa kepada yang membantu, lupa kepada pelajar lain yang memerlukan. 

Pendek kata seperti kacang lupakan kulit, membuang tongkat selepas menyeberang jambatan.

Memandangkan kepada jumlah tunggakan yang begitu banyak, penulis sarankan PTPTN tidak terlalu lembut atau bertolak ansur dengan peminjam culas. Ramai antara mereka tidak membayar walau pun setelah memperoleh pekerjaan. Sikap ini sangat buruk. 

Kerana itu PTPTN perlu mengambil apa juga langkah perlu bagi memastikan peminjam degil melunaskan hutang. Ini termasuk mengambil tindakan undang-undang, menyekat perjalanan atau mewajibkan majikan memotong gaji peminjam.

Pihak PTPTN juga mesti bertindak pantas dan proaktif. Segera bertindak, jangan tunggu lama kerana semakin lama semakin ramai jumlah yang culas. Jumlah yang tertunggak juga jadi semakin bertambah. 



Kepada peminjam, tanamlah kesedaran dalam diri untuk membayar balik apabila tiba masa. Bersemangatlah membayar seperti bersemangatnya ketika meminjam. 

Bantulah PTPTN membantu pelajar lain pula. Orang berbudi kita berbahasa. - KitaReporters

 

 

 

 

 

  

 

10
11
0
8
0
You will be interested