Musim tengkujuh yang berlaku pada bulan November dan Disember 2024 menyaksikan banyak tempat atau negeri terlibat dengan bencana tersebut. Amukan angin monsun timur laut ini membawa jumlah hujan yang banyak sehingga menenggelamkan kawasan rendah di Semenanjung Malaysia terutama Pantai Timur.
Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Malaysia kerugian hampir satu bilion ringgit akibat bencana itu. Namun, syukur kerajaan dan rakyat Malaysia banyak menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
Selain itu, dapat juga dilihat pelbagai organisasi
dan pempengaruh turut sama membanting tenaga dan tulang membantu mangsa-magsa
banjir seperti Khairulaming.
Justeru, tidak mahu ketinggalan, pada 7 Disember
2024 lalu, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan misi bantuan pascabanjir
di kawasan Batu Gajah, Perak dengan kerjasama Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).
Ketibaan sukarelawan UPM di Batu Gajah telah disambut baik oleh Yang diPertua MDBG, Mohamad Razif Ramli dan kakitangan MDBG.
Misi ini melibatkan seramai 116 sukarelawan yang terdiri daripada 101 pelajar dari Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) UPM dan 15 kakitangan universiti bersama Pegawai Pasukan dan Jurulatih daripada Kor SISPA UPM.
Para sukarelawan terdiri daripada pelajar dan staf UPM.
Pelepasan misi ini telah dibuat oleh Pengarah Pusat Kokurikulum
dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM, Prof. Madya Dr.
Mohd Mursyid Arshad, pada jam 7.00 pagi di Padang Kawad UPM.
Sukarelawan UPM ini telah menjalankan aktiviti pembersihan di sekitar Batu Gajah termasuk di Laman Menara Tanjak, Kawasan Awam Seri Jaya dan Surau Desa Tronoh untuk membantu membersihkan dan memulihkan kawasan yang terjejas akibat banjir.
Aktiviti pembersihan sedang dijalankan.
Menurut Dato' Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd
Sadullah, Naib Canselor UPM, pergerakan misi banjir ini adalah salah satu
program yang memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dan juga
staf universiti.
“Kami berharap melalui program ini, para pelajar dapat belajar mengenai pentingnya kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain ketika menghadapi bencana,” katanya.
Penyerahan sumbangan 3 kotak naskhah al-Quran kepada AJK Desa Tronoh.
Turut hadir Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad,
Pengarah PKPP, bersama Ts. Dr. Rozzamri Ashari dan Fahmi Azar Mistar, kedua-duanya Timbalan Pengarah PKPP; dan Pengerusi Surau Desa Tronoh di Surau Desa Tronoh.
Para sukarelawan memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk, termasuk membersihkan kawasan di sekitar perumahan yang terjejas, kawasan awam, dan memberikan sokongan moral kepada mangsa-mangsa banjir.
Sebanyak 10 kotak sumbangan makanan asas dan tiga kotak naskhah al-Quran juga telah disumbangkan kepada komuniti Batu Gajah.
Semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh pelajar dan staf UPM telah memberikan harapan dan semangat baharu kepada penduduk Batu Gajah.
Program seperti ini bukan sahaja membantu mangsa bencana, tetapi juga membina karakter dan nilai-nilai murni dalam diri para pelajar. Ini merupakan salah satu usaha UPM dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berbakti kepada masyarakat.
Tahniah diucapkan kepada sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan misi pascabanjir di Batu Gajah pada kali ini.
Semoga semangat kesukarelawanan dalam diri pelajar dan staf di UPM dapat dikekalkan dan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu kawasan-kawasan terjejas dan terkesan bencana banjir.
Semoga UPM dapat terus berkerjasama lagi bersama Majlis Daerah Batu Gajah dan agensi yang lain pada misi pascabanjir yang akan datang. - KitaReporters
Turut hadir Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pengarah PKPP bersama Ts. Dr. Rozzamri Ashari dan Fahmi Azar Mistar, kedua-duanya Timbalan Pengarah PKPP; dan Pengerusi Surau Desa Tronoh di Surau Desa Tronoh.