IMPIAN anak seorang penoreh getah untuk menjejak kaki ke menara gading seterusnya untuk membantu mengubah nasib kehidupan keluarga akhirnya menjadi kenyataan apabila berjaya mendaftar diri di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, pada 28 September 2024.
Kegembiraan yang tidak terkata malah mengundang rasa sebak
kepada Nurul Hazwanie Badeli yang menghadapi masalah kewangan, apabila UPSI memilih dia sebagai salah seorang penerima bantuan bagi
Skim Bantuan Pendaftaran Pengajian Semester satu yg ditawarkan oleh Pusat
Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS UPSI).
Atas keprihatinan UPSI itu, anak penoreh getah dari Kampung Tok Pelanduk, Pasir Mas, Kelantan disantuni pada pendaftaran pelajar baharu UPSI adalah antara yang mendapat bantuan bagi menyambung pengajian, sekali gus menyempurnakan Impiannya selepas belajar bersungguh-sungguh untuk ke universiti bagi meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi.
Wakil WEZAS, Nurul Anuar Jamasan (lima dari kiri ) dan Prof Norkhalid Salimin (dua dari kiri ) ketika menyampaikan sumbangan kepada Nurul Hazwanie Badeli selepas sesi pendaftaran di Kolej Harun Aminurrashid.
Pengarah WEZAS Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif berkata, Nurul Hazwanie adalah salah seorang daripada 93 pelajar yang terpilih membabitkan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang menerima bantuan skim bantuan pendaftaran pelajar baharu bagi kemasukan semester satu sesi 2024/25.
Menurutnya, WEZAS dengan kerjasama pihak bendahari, Bahagian
Hal Ehwal Akademik (BHEA) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) membuat
saringan data pendaftaran pelajar baharu bagi mengenal pasti mereka yang
memerlukan bantuan.
"Satu pautan khas kemudiannnya disediakan dalam portal
pendaftaran untuk dilayari bagi pelajar mengisi maklumat yang diperlukan,"
katanya.
Berdasarkan data berkenaan, Prof Mohd, berkata pihak WEZAS
turun padang dengan membuat lawatan sosial ke rumah pelajar terbabit yang
memerlukan bantuan bagi membuat tinjauan dan saringan kelayakan.
Pada waktu yang sama, pihak WEZAS juga mengambil kira makluman diberikan oleh orang awam yang menghubungi pihak WEZAS.
Pelajar yang menerima skim itu dibahagikan kepada dua bentuk bantuan iaitu kategori kritikal 36 pelajar akan menerima bantuan sebanyak RM3,000, manakala kategori separa kritikal iaitu 57 pelajar diberikan bantuan RM1,500.
Ini menjadikan RM193,500 diperuntukkan untuk skim bantuan berkenaan, katanya lagi.
Wakil JHEPA UPSI ke rumah Nurul Hazwanie di Kampung Tok Pelanduk, Pasir Mas selepas kisahnya tular di media sosial.
Sementara itu, Timbalan Naib Censelor UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin, berkata selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UPSI sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan pelajar bagi memastikan proses pendaftaran kemasukan ke UPSI kali ini berjalan lancar dan isu-isu berkaitan kewangan untuk pendaftaran dapat diselesaikan.
Pada waktu yang sama, jelasnya, seluruh kemudahan di universiti digerakkan termasuk menyediakan kolej kediaman bagi penginapan ibu bapa yang datang dan juga pengangkutan pelajar dari KLIA ke UPSI yang membabitkan pelajar dari Sabah dan Sarawak. - KitaReporter