Kampus & Pendidikan 10 May, 2025

Cahaya di sebalik ketidakupayaan: Perjuangan seorang guru pendidikan khas! Bantu murid istimewa!

@mohd nawawi rusli
Berkemahiran dalam mereka bentuk poster, akhbar dan menulis dalam penerbitan universiti dan kini telah bersara.

Share this


"Sebagai seorang guru pendidikan khas, perjalanan saya tidak bermula dengan mudah, dan tidak juga berakhir dengan mudah. Namun, setiap detik yang dilalui sarat dengan pelajaran hidup yang mendewasakan dan menyentuh hati," kata Nur Kareena Aqila Mahdzir, 33 tahun, yang kini berkhidmat sebagai Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Mutiara, Pulau Pinang.

Beliau telah berkhidmat selama lapan tahun di tiga buah sekolah bermula di SMK Sungai Nibong, SMK Padang Polo, dan kini SMK (P) Sri Mutiara. 

"Menjadi guru pendidikan khas bukan sekadar kerjaya bagi saya tetapi menggalas amanah dan panggilan jiwa. Mengajar murid berkeperluan khas menuntut lebih daripada sekadar memastikan keberhasilan dalam akademik semata-mata. 

"Jauh daripada itu, kerjaya ini menuntut kesabaran luar biasa, ketabahan jiwa, dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Setiap hari adalah cabaran, tetapi juga setiap hari adalah peluang untuk menyentuh hati dan mengubah hidup pelajar-pelajar," jelas beliau.


Nur Kareena Aqila Mahdzir sebagai Guru Penyelaras PPKI


Antara anak didik Kareena dalam pelbagai kategori ketidakupayaan


Salah satu cabaran terbesar dalam bidang ini adalah menangani keperluan murid yang pelbagai dalam satu kelas. Ada yang menghidap autisme, disleksia, ADHD, dan pelbagai lagi ketidakupayaan. 

"Setiap murid unik dan memerlukan pendekatan yang berbeza. Maka, saya perlu mempelbagaikan strategi pengajaran dan memastikan sesi PdPc (Pembelajaran Dan PemudahCaraan) disesuaikan mengikut tahap keupayaan mereka. Ia bukan kerja yang mudah kerana menuntut kreativiti, komitmen dan pengorbanan masa," ujarnya.

Masalah emosi juga sering menjadi halangan besar. Ada hari mereka begitu manja dan ceria, namun ada hari mereka sukar dikawal, malah boleh bertindak agresif. 

Pada fasa remaja, mereka tidak terlepas daripada gelora jiwa masalah berkaitan identiti, perubahan hormon, tekanan sosial. semua ini menguji tahap empati dan profesionalisme saya sebagai pendidik.

"Pengalaman yang pernah saya lalui bukan sesuatu yang mudah dilupakan. Saya pernah ditumbuk sehingga mulut berdarah, ditumbuk di perut sewaktu hamil, malah ditarik tudung dan rambut oleh murid sendiri. 

"Namun, saya tidak pernah menyimpan dendam. Saya tahu bahawa tindakan mereka bukan kerana benci, tetapi kerana ketidakmampuan mereka mengurus emosi dan menyampaikan rasa," kata Nur Kareena lagi.


Antara aktiviti mencungkil bakat anak didik PPKI


Aktiviti sukan untuk mencungkil bakat dalam kesukanan

"Saya sentiasa percaya bahawa dalam setiap murid, tersimpan satu potensi tersembunyi. Mungkin mereka tidak menyerlah dalam akademik, tetapi mereka punya kelebihan dalam bidang lain seperti seni, muzik, sukan, atau kemahiran tangan. 

"Peranan saya ialah untuk membantu mereka menemui kekuatan diri, dan mencungkil potensi itu sebaik mungkin. 

"Saya tidak pernah mengukur kejayaan berdasarkan gred semata-mata. Bagi saya, apabila seorang murid mampu berdikari, berkeyakinan dan mempunyai semangat untuk mencuba, itulah kemenangan yang sebenar. 

"Melihat mereka tersenyum dan mampu menyesuaikan diri dalam masyarakat, itulah ganjaran paling besar buat saya sebagai seorang guru," tambah beliau.


Aktiviti yang boleh mencungkil bakat kreatif

"Di sebalik segala cabaran yang saya tempuhi, saya menyimpan satu harapan besar agar masyarakat kita menjadi lebih inklusif dan terbuka menerima murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK). 

"Saya ingin melihat mereka diberi peluang yang sama untuk mencipta kejayaan, diraikan di pentas seperti murid perdana lain, dan tidak lagi dipinggirkan hanya kerana perbezaan yang mereka miliki.

"Saya juga berharap agar lebih banyak majikan membuka pintu peluang pekerjaan kepada MBPK selepas tamat persekolahan. Mereka juga mampu bekerja dan menyumbang jika mereka diberi latihan, sokongan dan kefahaman. 

"Sebagai pendidik, saya ingin terus berbakti dengan penuh dedikasi. Saya mahu terus menjadi cahaya kecil yang menerangi dunia anak-anak istimewa ini. 

"Saya akan terus membimbing mereka agar mampu berdikari, yakin diri, dan mampu berdiri teguh apabila melangkah keluar dari alam persekolahan.


Membina keyakinan diri kepada pelajar PPKI


"Perjalanan ini tidak mudah, namun ia penuh makna. Saya percaya, dengan keikhlasan dan usaha berterusan, apa yang diimpikan bukanlah sesuatu yang mustahil. 

"Saya bangga menjadi guru pendidikan khas, bukan kerana saya kuat, tetapi kerana saya percaya bahawa setiap anak istimewa berhak mendapat cahaya dalam hidup mereka," kata Nur Kareena sebagai akhir bicara. - KitaReporters


Hasil garapan untuk kecemerlangan anak didik PPKI

Anugerah kecemerlangan pendidikan yang diterima

 

13
10
0
13
0
You will be interested