Kampus & Pendidikan 21 Mar, 2025

Inisiatif Sekolah Bertingkat! Optimumkan sumber dan infrastruktur! Kerjasama sektor korporat! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Bagi menangani masalah kepadatan sekolah di kawasan bandar, kerajaan akan memperkenal inisiatif Sekolah Bertingkat dengan kerjasama sektor korporat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan infrastruktur pendidikan.

"Tetapi juga memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid dan guru," katanya dalam hantaran Facebook pada Khamis, 20 Mac 2025.

Anwar juga menegaskan inisiatif lain seperti Sekolah Angkat Madani dengan dukungan rakan strategik korporat akan diperluas bagi membuka lebih banyak peluang pembelajaran kepada murid, terutama dalam bidang kemahiran digital dan daya cipta.

"Kerajaan akan terus memastikan setiap kebijakan dan inisiatif pendidikan yang dilaksanakan membawa manfaat jangka panjang kepada negara," katanya lagi.

Menurut Perdana Menteri, pendidikan bukan sekadar penyampaian ilmu, tetapi asas pembentukan generasi yang berdaya saing, berilmu, dan berakhlak tinggi. 



Sehubungan itu, kerajaan, katanya, beriltizam tegas untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara menyeluruh bagi memastikan setiap murid mendapat akses kepada sistem pendidikan yang berkualiti, relevan dengan keperluan semasa, dan mampu membentuk mereka sebagai pemimpin masa depan.

"Keutamaan diberikan kepada pemerkasaan guru sebagai ejen perubahan yang berperanan penting dalam mencorak masa depan pendidikan negara. 

"Latihan yang lebih komprehensif, peningkatan kemahiran pedagogi, serta penggunaan teknologi dalam bilik darjah akan diperkukuh bagi memastikan setiap murid mendapat pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan," jelas beliau.

Dalam masa yang sama, tambahnya, penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu terus disemarakkan tanpa mengabaikan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa bagi memastikan pelajar mempunyai kelebihan di peringkat global.

Beliau berkata, peningkatan kemasukan dalam lapangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjadi fokus utama. 

"Langkah ini penting bagi memastikan tenaga kerja negara sentiasa relevan dengan keperluan industri, di samping menjamin kebolehpasaran graduan yang lebih tinggi. 

"Kerajaan juga bersungguh untuk memperluas program TVET ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam pelbagai sektor strategik," katanya lagi.



Anwar turut menegaskan, dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI), sistem pendidikan negara perlu berkembang seiring dengan perubahan teknologi. 

Walhasil, pendidikan digital akan terus diperkasa bagi membolehkan murid memperoleh kemahiran teknologi yang diperlukan untuk masa depan. 

"Pendidikan berkualiti adalah pelaburan terbaik untuk masa depan negara, dan komitmen ini akan terus diperjuang demi Malaysia yang madani dan berdaya saing.

"Ini adalah intipati daripada mesyuarat tengah hari tadi (Khamis, 20 Mac 2025) bersama kepemimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan," kata Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
7
0
5
0
You will be interested