Kampus & Pendidikan 20 Mar, 2025

Menemukan Semula Andalusia! UIAM meterai perjanjian dengan Universiti Islam Al-Andalusia Sepanyol!

@roslan rusly
18 Tahun pengalaman dalam Perhubungan Awam dan Media. Pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar(SUA). Banyak menyiarkan berita-berita dan rencana di portal berita dan akhbar.

Share this


Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universidad Islamica de España Al-Andalusia atau Universiti Islam Al-Andalusia Sepanyol (UIEA) secara rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama akademik serta memajukan penglibatan global dalam pendidikan tinggi Islam.

Majlis menandatangani MoU ini berlangsung bersempena dengan syarahan utama bertajuk "Rediscovering Andalusia" (Menemukan Semula Andalusia) yang disampaikan oleh Presiden dan Rektor UIEA, Sheikh Mohamad Idrissi Alcaraz, di Dewan Senat, Kampus Gombak. Syarahan tersebut mengupas warisan Islam yang kaya di Andalusia serta kepentingannya dalam bidang akademik dan peradaban masa kini.



MoU ini ditandatangani oleh Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Osman Bakar (gambar atas, dua dari kiri) dan Sheikh Mohamad Idrissi Alcaraz (gambar atas, dua dari kanan), menandakan satu langkah penting dalam mempererat hubungan antara kedua-dua institusi. Majlis ini turut dihadiri oleh pegawai kanan universiti, ahli akademik, serta tetamu dari kedua-dua institusi.

Dalam ucapannya, Prof. Emeritus Datuk Osman Bakar menegaskan bahawa kerjasama ini bukan sekadar inisiatif akademik, tetapi juga usaha memperluaskan budaya Iqra’ serta mempromosikan konsep Rahmatan lil ‘Alamin (rahmat untuk seluruh alam).

“Perkongsian ini akan membuka ruang kepada program akademik bersama, pertukaran fakulti dan pelajar, penyelidikan kolaboratif, serta peluang pembangunan profesional. Ia selaras dengan komitmen kami untuk menjadikan ilmu lebih mudah diakses dan bermanfaat kepada umat sejagat,” katanya.

MoU ini bertujuan untuk mewujudkan kerjasama antara IIUM dan UIEA. Antara bidang utama yang akan diberi tumpuan termasuk program akademik bersama, termasuk laluan pengajian Sarjana dan PhD dengan peluang biasiswa, pengiktirafan dan akreditasi bersama bagi program-program tertentu UIEA ,penyelidikan dan penerbitan bersama, selain pertukaran fakulti dan pelajar, pembangunan profesional, serta penglibatan budaya.



Sheikh Mohamad Idrissi Alcaraz turut menyatakan komitmen UIEA dalam memperkukuh kerjasama akademik antarabangsa. Menurutnya, perjanjian ini akan mengukuhkan visi bersama dalam memperkembang ilmu Islam serta membina komuniti akademik global yang berteraskan nilai-nilai etika dan ilmu pengetahuan.

Majlis ini menghimpunkan para sarjana dan pelajar, menjadi jambatan penghubung antara sumbangan sejarah Islam di Sepanyol dan kerjasama akademik kontemporari. 

Penandatanganan MoU ini menegaskan komitmen kedua-dua universiti dalam memperjuang kecemerlangan akademik, kerjasama antara universiti, dan penyebaran ilmu Islam dalam dunia yang semakin berkembang pesat. - KitaReporters/UIAM


16
10
0
10
0
You will be interested