
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menzahirkan komitmen terhadap misi kemanusiaan apabila pasukan perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM (FPSK) USIM tampil membantu mangsa tragedi letupan gas yang berlaku di Putra Heights baru-baru ini.
Insiden yang berlaku pada hari Selasa, 1 April 2025 yang lepas itu telah mengakibatkan lebih 300 orang penduduk terpaksa dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di PPS Masjid Putra Height dan PPS Camellia, MBSA, yang terletak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi kejadian.
Mangsa terdiri daripada penduduk sekitar kawasan kejiranan Apartment Putra Heights dan kawasan sekitar, termasuk warga emas, kanak-kanak, dan individu yang mengalami masalah kesihatan.

Pasukan perubatan daripada FPSK USIM yang diketuai Prof
Madya Dr. Mohd Radzniwan A Rashid, tampil ke lokasi PPS untuk melihat keadaan
semasa mangsa, dan telah diminta untuk turut serta membantu pasuka perubatan
Kesihatan daerah Petaling di lokasi PPS Camelia tersebut.
Menurut Dr. Radzniwan, misi bantuan ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial universiti melalui program USIM Prihatin yang memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan dan sokongan kesihatan kepada masyarakat terjejas.

“Kami menerima maklumat tentang misi bantuan untuk kejadian itu pada hari Sabtu malam (5 April 2025) dan terus bersiap siaga untuk menghantar pasukan keesokan harinya.
"Seramai 10 petugas perubatan terdiri daripada pakar perubatan Fakulti Perubatan USIM telah digerakkan ke PPS pada pagi Isnin (7 April 2025),” katanya.
Tambah beliau, pasukan perubatan USIM di PPS Camelia ditugaskan untuk menilai tahap kesihatan mangsa serta menyediakan bantuan kesihatan asas, khususnya kepada mereka yang mengalami gejala ringan akibat terhidu gas seperti luka-luka kecil, sesak nafas, sakit dada dan pening kepala, tekanan darah tinggi, serangan panik, dan stres akibat kejadian tersebut.
Turut membantu dalam operasi ini ialah beberapa kakitangan dari Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM yang berperanan dalam menyelaras sokongan psikososial kepada keluarga terjejas.

Dr. Radzniwan turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta pihak berkuasa tempatan yang memberi kerjasama baik kepada pasukan perubatan USIM sepanjang operasi berlangsung.
Penghargaan juga diberikan kepada pihak pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia khususnya Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan atas sokongan yang diberikan bagi menjayakan misi bantuan ini.
Beliau menyatakan bahawa kerjasama rentas agensi seperti ini amat penting dalam menangani krisis kesihatan komuniti dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
“Pengalaman seperti ini juga memberi peluang sebenar kepada pakar perubatan USIM untuk berkhidmat dalam situasi kecemasan dan meningkatkan empati serta profesionalisme mereka sebagai pengamal perubatan Islam. Ini merupakan kali pertama kami berkhidmat kepada mangsa kebakaran yang berskala besar,” jelas beliau.
Misi bantuan berakhir pada malam 9 April 2025 setelah kebanyakan mangsa ditempatkan semula ke rumah sewa ataupun rumah masing-masing selepas kawasan disahkan selamat oleh pihak berkuasa. - KitaReporters/USIM
