
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah di Merbok mengadakan Hari Pendaftaran Pelajar Baharu (HPPB) 2025 selama dua hari mulai 5 hingga 6 April 2025 lalu dan semuanya berjalan dengan lancar dalam usaha mengenal antara satu sama lain.
Seramai 673 orang pelajar baharu berjaya didaftarkan untuk memulakan pengajian akademik masing-masing dan akan tinggal di kolej kediaman dalam kampus yang disediakan.
Daripada jumlah itu, seramai 261 orang pelajar baharu akan tinggal di Kolej Masria, 211 orang di Kolej Mahsuri, 182 orang di Kolej Malinja dan 19 orang di Rumah Pelajar Taman Universiti (RPTU) Bedong, Kedah.

Pihak pengurusan kanan UiTM Cawangan Kedah melalui Rektornya Prof Dr Roshima Said mengucapkan selamat datang dan setinggi-tinggi ucapan tahniah serta penghargaan kepada semua pelajar baharu kerana berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
"Semoga perjalanan akademik mereka di UiTM Cawangan Kedah dipenuhi dengan ilmu bermanfaat dan mencari pengalaman bagi membina satu kejayaan ke tahap lebih gemilang," katanya.
Menurutnya, semangat baharu perlu ada dalam diri setiap pelajar sebagai titik permulaan untuk mencapai impian dan matlamat.
"Setiap cubaan dalah peluang, setiap usaha adalah langkah kejayaan. Teruskan berusaha, jangan putus asa, dan ingat, pihak UiTM Kedah sentiasa bersama anda untuk menyokong perjalanan hidup menuju kecemerlangan."
Menurutnya lagi, bagi pelajar lama, UiTM turut menyambut kedatangan mereka kembali ke kampus untuk memulakan semester baru. Semoga semester kali ini menjadi titik permulaan bagi mereka untuk mencapai matlamat akademik dan pembentukan diri ke arah yang lebih baik.
"Kami berharap semua pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan di UiTM Cawangan Kedah untuk menjadi insan yang berilmu, berintegriti, dan berdaya saing secara global," tambah Roshima lagi.

Sementara itu, Pengawal Keselamatan UiTM Cawangan Kedah, ASP/PB Adly Albakhri Ismail berkata, proses pendaftaran kali ini begitu mencabar disebabkan oleh kesesakan lalu lintas yang tidak terduga berikutan dengan pergerakan perantau Aidilfitri yang pulang ke kampung halaman untuk berhari raya.
Selain itu, kawasan UiTM Cawangan Kedah terletak juga beberapa institusi pendidikan lain seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok, Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Maktab Mahmud dan Universiti AIMST.
Menurut beliau, semua pihak dapat memahami keadaan itu sebagai satu cabaran yang tidak dapat dielakkan.
Koordinator Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Kedah, Dr Sharina Saad pula berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak, termasuk Bahagian Residensi & Hospitaliti Pelajar (HEP) dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) atas dedikasi dan kerja keras sehingga proses pendaftaran berjalan dengan baik. - KitaReporters

Tags: