Kampus & Pendidikan 08 Oct, 2025

Perkasa STI di sekolah luar bandar! PSKT bawa sains ke kawasan desa! Bagi rapatkan jurang STEM!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Menempuh perjalanan sejauh lebih 100km dari Kuala Terengganu tidak menghalang Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) untuk membawa pendidikan sains dan teknologi menerobos ke kawasan luar bandar, sekali gus merapatkan jurang antara masyarakat untuk memanfaatkan peluang sama rata ini.



Menerusi penganjuran yang dijenamakan sebagai ‘Science Journey Carnival STI Madani’ (Karnival Pengembaraan Sains STI Madani)  berjaya menarik kehadiran seramai 2150 pengunjung untuk hari pertama di Dewan Balora, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Hulu Dungun.

Karnival itu menjadi penanda aras awal bagi dua hari penganjuran di bawah Geran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Madani.




Bagi seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Puteh yang terletak di daerah Kemaman, Mustafa Mohd Rafi menzahirkan keterujaan bersama 38 murid-muridnya yang sanggup hadir dengan perkhidmatan bas sewa khas.

“Satu program atau penganjuran yang amat bermakna buat kami khususnya anak-anak murid kami dari luar bandar ini di mana sememangnya telah lama kami merancang untuk ke PSKT yang terletak di Kuala Terengganu. 

"Namun oleh kerana faktor jarak dan perbelanjaan yang terhad maka kami terpaksa tangguhkan dulu.

“Setelah mengetahui PSKT akan hadir ke bandar Bandar Al-Muktafi Billah Shah ini, saya segera memanfaatkan peluang yang ada ini demi anak-anak didik saya menerima peluang yang sama rata seperti mana yang lain berada di bandar. 

"Seharusnya program sedemikian diadakan pada edisi seterusnya,” berkata Mustafa Mohd Rafi yang mengajar mata pelajaran matematik di sekolahnya.




Perkara itu turut diakui Penolong Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial KETENGAH, Muhammad Adhwa Hazziq Arsad yang menyatakan bahawa program itu sebagai medium pendedahan kepada anak-anak luar bandar untuk lebih dekat dengan sains.

"Ini satu langkah permulaan ke arah kita membudayakan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).

"Kalau diteruskan, ia dapat mempersiap anak-anak di luar bandar khususnya agar tidak ketinggalan dalam membudayakan sains dalam kehidupan," jelasnya.



Keterujaan merasai kemeriahan karnival berkenaan turut dikongsi oleh Nur Zulaikha Zulkifli, 31, ibu kepada lima orang anak yang hadir.

Katanya, beliau tidak menyangka karnival itu sungguh meriah dengan pelbagai aktiviti.

“Jangkaan awal saya hanyalah sebuah program biasa di mana anak saya memaklumkan ingin menyertai sukaneka sahaja, yalah seperti mana program atau penganjuran lain-lain sebelum ini di sini.

"Namun setelah sampai di sini ia adalah lebih itu di mana mereka diberi pendedahan secara terus untuk mencuba atau menyentuh setiap pameran yang ada di sini.

"Tidak dinafikan sebagai ibu sudah tentu ingin memberikan peluang pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak namun setiap keluarga mempunyai kekangan masing-masing di mana sekiranya kewangan tidak menjadi faktor sudah tentu lokasi tempat tinggal.

"Apa yang pasti bagi penganjuran ini tiada dikenakan sebarang bayaran amat bermakna buat keluarga besar ini," tambahnya.




PSKT selaku pemegang taruh utama penganjuran yang berlangsung selama dua hari ini memanfaatkan sepenuhnya geran STI Madai sebagai usaha tanggungjawab untuk merapatkan jurang pendedahan mahupun pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan masyarakat luar bandar.

Selain pameran dan aktiviti berkaitan STEM berlangsung di dalam dewan utama, turut berlangsung di pekarangan dewan adalah sukaneka, pertunjukkan silap mata, cerapan langit, pameran dan perkhidmatan dari pelbagai agensi dan pelbagai lagi yang turut menarik kehadiran orang ramai dari pelbagai latar belakang. - KitaReporters

11
12
0
4
0
You will be interested