Kampus & Pendidikan 25 Sep, 2025

Kena ada power, money, connection! Bukan hanya pencapaian akademik! Nasihat Zuraidah kepada pelajar!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Tokoh korporat yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dato’ Zuraidah Atan, meraikan Muhammad Saniy Samsudin yang telah berangkat melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Kewangan di University of Warwick (Warwick Universiti), United Kingdom pada 24 September 2025.

Zuraidah Atan (kiri) dan Muhammad Saniy Samsudin.


Dalam pertemuan itu, Zuraidah menegaskan bahawa kejayaan dalam bidang kewangan dan dunia korporat tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut menuntut penguasaan tiga elemen penting iaitu power (kuasa), money (wang) dan connection (jaringan).

“Power adalah kekuatan diri yang dibina melalui disiplin, integriti dan kepimpinan. Tanpa kekuatan ini, seseorang mudah goyah apabila berdepan dengan cabaran besar dalam hidup,” katanya.
Beliau menambah, money bukan sekadar tentang memiliki kekayaan, sebaliknya berkait dengan keupayaan mengurus kewangan secara bijaksana.
“Jika kita menguasai ilmu kewangan, kita mampu mencipta peluang, bukan hanya menunggu peluang datang kepada kita,” jelasnya.
Sementara itu, connection, ujar beliau, adalah keupayaan membina jaringan strategik dengan pelbagai pihak pada peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Jaringan inilah yang akan membuka pintu kepada kerjasama, perkongsian ilmu dan peluang yang lebih luas dalam dunia profesional,” katanya lagi.


Zuraidah menegaskan, kombinasi ketiga-tiga aspek ini akan membolehkan seseorang bukan sahaja berdiri teguh dalam kerjaya, malah berupaya menjadi pemimpin yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Hubungan antara Zuraidah dan Saniy mula terjalin ketika beliau mengetuai program Relay For Life Malaysia anjuran National Cancer Society of Malaysia (NCSM) kira-kira 15 tahun lalu. Sejak itu, beliau mengikuti perkembangan Saniy dan berbangga dengan pencapaiannya.
Saniy yang berasal dari Jitra, Kedah telah berangkat dengan tajaan penuh daripada Yayasan Khazanah, satu pengiktirafan berprestij yang menjadi kebanggaan keluarga serta sumber inspirasi kepada generasi muda Malaysia.

Zuraidah dan Muhammad Saniy bersama kedua-dua ibu bapa Muhammad Saniy.


Sebagai rekod, Zuraidah Atan berpengalaman luas dalam dunia perbankan, guaman, pendidikan dan tanggungjawab sosial korporat. 

Beliau pernah berkhidmat hampir dua dekad dalam sektor perbankan termasuk sebagai Naib Presiden dan Ketua Bahagian Kewangan Korporat & Pasaran Modal di OCBC Bank. 
Dari tahun 1999 hingga 2003, beliau dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Merchant Bank Berhad, sekali gus mencatat sejarah sebagai wanita Bumiputera pertama yang mengetuai sebuah bank di Malaysia. - KitaReporters
13
7
0
12
0
You will be interested