DALAM usaha meningkatkan motivasi tentang peluang pekerjaan kepada penghuni-penghuni penjara, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia menganjurkan Karnival Kerjaya yang disertai 50 orang penghuni yang sedang menjalani Rawatan Pemulihan Dadah di Penjara Kajang baru-baru ini.
Program yang diterajui Asian Centre for Research on Drug Abuse (ACREDA), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM ini merupakan salah satu latihan lapangan bagi peserta kursus Certified Abuse Treatment Practitioner (CSATP) Kohort Pertama yang disertai oleh 30 Pegawai-Pegawai Penjara seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penjara-penjara
Prof. Madya Dr. Amin Al Haadi Shafie yang juga Pensyarah FKP
selaku Ketua Projek CSATP berkata, kursus ini telah dijalankan selama tiga
bulan bermula Oktober 2022 sehingga Januari 2023 bagi memberi pendedahan
berkaitan kaunseling kerjaya kepada pegawai-pegawai penjara untuk membantu penghuni-penghuni
penjara agar mempersiapkan diri dengan persediaan mental dan fizikal dalam
dunia pekerjaan selepas dibebaskan kelak.
“Kami sasarkan seramai 100 orang peserta yang akan megikuti
kursus ini. Kohort kedua akan bermula pada Mac dan April 2023 sehinggalah
penyertaan kohort berikutnya. Tenaga pengajar kursus ini terdiri daripada para
penyelidik ACREDA, pensyarah daripada program komunikasi, akidah dan dakwah
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan serta Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains
Kesihatan.”
Pelbagai pengisian dijalankan sepanjang karnival ini antaranya Bengkel Penulisan Resume, Bengkel Instrumen Kerjaya dan Bengkel Pengurusan Diri. Beberapa syarikat dan agensi yang hadir adalah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Auto Global Part Sdn Bhd, Second Life Human Resource dan Juwara Resources & Trading Sdn Bhd.
Sementara itu, Dato’ Nordin Muhamad, Komisioner
Jeneral Penjara dalam ucapan perasmiannya menzahirkan ucapan terima kasih
kepada majikan-majikan yang hadir serta menawarkan pekerjaan kepada penghuni
penjara ini, dan berharap semua pegawai yang terlibat dalam modul ini dapat
melaksanakan apa yang telah dipelajari dan dipraktikkan setelah kembali ke
jabatan masing-masing.
Turut hadir adalah Felo Penyelidik ACREDA, Dato’ Dr. Abd Halim Mohd Husin dan Penolong Naib Canselor Perancangan Strategik dan Komunikasi Korporat, Prof. Madya Dr. Mahazan Abdul Mutalib@Talib. - KitaReporters/USIM