Kampus & Pendidikan 10 Jun, 2024

Cintai sungai dan alam sekitar kita! Warga UPSI dan PPSPM laksana Program Membersih Sungai Melaka!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sungai Melaka yang bersih dan cantik menjadi daya tarikan pelancongan. - Gambar hiasan


PROGRAM Membersih Sungai Melaka anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak, yang bertujuan memelihara alam sekitar diadakan pada 24 Mei 2024. 

Program julung kali dianjur oleh  JHEPA yang diadakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu melibatkan penyertaan 148 kakitangan di bawah Portfolio Timbalan Naib Canselor (HEPA).

Pengurus Jabatan Pembangunan Perniagaan & Korporat PPSPM, Salman Salim dalam ucapan perasmiannya, berkata program berkenaan memberi penekanan terhadap peri pentingnya usaha menjaga kebersihan dan kelestarian sungai sebagai salah satu langkah utama dalam memelihara alam sekitar. 


Warga JHEPA menaiki bot khas untuk menjalankan aktiviti pembersihan Sungai Melaka. 


Beliau turut memberi pujian terhadap komitmen JHEPA, UPSI dalam usaha berkenaan dan berharap kerjasama seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang. 

“Saya difahamkan program membersih sungai ini adalah salah satu pengisian di dalam slot Retreat JHEPA 2024 di samping menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai,” katanya.

Aktiviti program berkenaan bukan sahaja membabitkan kerja pembersihan fizikal seperti memungut sampah sarap yang terapung dan tersangkut di tebing sungai, tetapi juga merangkumi sesi penerangan serta pendidikan mengenai kepentingan sungai kepada ekosistem juga kehidupan manusia.


Dr Norkhalid Salimin (dua dari kanan) bersama warga JHEPA yang menjayakan Program Membersih Sungai Melaka pada 24 Mei 2024.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni atau HEPA), Prof Dr Norkhalid Salimin yang turut hadir pada program berkenaan menyatakan penghargaan beliau kepada semua kakitangan yang terbabit kerana sanggup berkorban tenaga dan masa.

“Program  ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dalam mendidik dan menyumbang kepada masyarakat malah sebagai tanda keprihatinan terhadap usaha memelihara alam sekitar.

“Saya berharap program ini juga dapat menyemarakkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan sungai kita.  

“Sungai Melaka bukan sahaja menjadi lambang negeri Melaka yang terkenal sebagai bandar pelancongan, tetapi juga sumber kehidupan yang perlu dipelihara bersama,” katanya. 


Dr Norkhalid Salimin menyampaikan cenderamata kepada Salman Salim (kanan) selepas selesai program.


Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, pula menganggap program itu satu komitmen yang sangat tinggi dan bernilai dalam merapatkan universiti dengan komuniti, sekali gus mencerminkan kecintaan warga kampus terhadap sungai sebagai khazanah alam.

“Saya menyokong usaha seumpama ini sebagai sumbangan universiti terhadap masyarakat atau rakyat demi kelestarian alam dalam menarik pelancong luar negara ke negeri Melaka,” ujarnya.

Program berkenaan berakhir dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan dan kerjasama antara JHEPA, UPSI dan PPSPM. - KitaReporters

9
15
0
16
0
You will be interested