Kampus & Pendidikan 06 Dec, 2022

Graduan MMU sebak terima Anugerah Canselor! Rindu ayah yang tiada! Menangis ketika berucap di pentas!

Share this


PENERIMA Anugerah Canselor Universiti Multimedia (MMU) berasa sebak sehingga menitiskan air mata ketika berucap selepas menerima anugerah tertinggi universiti itu di Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) 2022 di Cyberjaya baru-baru ini.

Siti Jamila Syuhada Jailani tidak dapat menahan kesedihannya lalu menangis di atas pentas apabila beliau mengimbau peristiwa ayahnya meninggal dunia beberapa minggu sebelum peperiksaan akhir dalam pengajiannya pada Julai 2022.

“Bila saya terkenangkan perkara ini, ia amat menyayat hati. Tidak pernah saya bayangkan tempat duduk kosong di sebelah ibu saya pada hari ini. 

"Saya masih berharap agar ayah saya akan berada di sini untuk meraikan saya menamatkan pengajian saya. Saya masih berharap bahawa ayah akan berkata, ‘Kakak, ayah sangat bangga dengan kakak.' Tetapi itu tidak akan berlaku,” katanya sambil mengesat air matanya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan majlis-majlis konvokesyen


Siti Jamila Syuhada adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, menerima Anugerah Canselor daripada Pro-Canselor, Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid at Dewan Tun Canselor, MMU. Majlis tersebut telah diadakan dari 26 hingga 28 November 2022 lalu.

Lulus dengan PNGK 3.93, Siti Jamila Syuhada berkata, dia berasa bersyukur mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapanya sentiasa memberi dorongan dan inspirasi untuk melakar kejayaan berkenaan.

Beliau ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar wanita pertama di MMU, dan pernah mewakili Malaysia untuk Parlimen Komanwel Belia Ke-11 2022 dan kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bawal Exclusive Sdn. Bhd

Bapanya, Allahyarham Dato’ Jailani Ngah, adalah bekas Setiausaha Politik di Pejabat Perdana Menteri (PMO).



Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Analitikal, dengan PNGK 3.98, Neha Bhubhindar Singh amat bersyukur kerana dipilih sebagai penerima Anugerah Presiden bagi Kelas 2022. 

“Pendedahan, dan peluang yang kami terima dalam MMU telah membentuk kita menjadi siapa kita hari ini. Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta kemahiran insaniah dan teknikal yang diperolehi akan memberi manfaat kepada kami pada masa hadapan,” katanya.



Pendatang baru dalam industri muzik dengan lagu bertajuk, Casablanca, yang telah mencapai lebih 5 juta tontonan dalam Youtube dan 2.4 juta pengunjung di Spotify dari banyak negara, Nuha Bahrin atau Nuha Sakinah Saiful Bahrin, adalah antara graduan sarjana muda semasa majlis konvokesyen.

Lulusan Sarjana Muda Pemasaran (Kepujian) dengan Ijazah Kelas Pertama dan 3.7 PNGK, Nuha Bahrin berkata, dia mendedikasikan kejayaan itu kepada ibu bapanya yang memberikan sokongan berterusan sepanjang pengajian dan aktiviti muzik. 

“Saya perlu mengimbangi aktiviti saya dengan sentiasa meletakkan pelajaran pada keutamaan nombor 1. Ibu bapa saya tak pernah jemu untuk memberi nasihat dan motivasi setiap kali saya memerlukan bimbingan,” katanya. 



Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, Presiden MMU mengingatkan para graduan supaya menjunjung sifat-sifat alumni MMU iaitu, Inquire, Inspire, dan Innovate yang diterapkan oleh universiti.

Dia menyifatkan sifat-sifat itu sebagai khazanah bonus dikumpul semasa para graduan memburu kecemerlangan akademik di MMU. 

MMU meraikan 3,277 graduan Kelas 2022 dalam majlis Istiadat Konvokesyen ke-23 dalam acara yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 26 November 2022. 

Majlis itu menyaksikan 2,303 graduan Ijazah Sarjana Muda, 815 graduan Diploma, 116 graduan Ijazah Sarjana, dan 43 graduan Ph.D menerima skrol daripada Dr Zakri Abdul Hamid. 

Beliau turut menyampaikan 10 Anugerah Permata kepada graduan cemerlang dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan, perniagaan dan kreatif. - KitaReporters/MMU


20
12
0
12
0
You will be interested