Kampus & Pendidikan 02 Aug, 2023

Program Sulung 2.0 Malaysia Madani! Pelajar anak sulung B40 UUM dikecualikan bayaran yuran pengajian!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi.

Share this


Seramai 388 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dari pelbagai kaum dan bangsa yang terdiri daripada anak-anak sulung golongan keluarga B40 dikecualikan membayar yuran pengajian di kampus ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan Program Pembangunan Siswa Sulung (Sulung) 2.0 di bawah gagasan Malaysia Madani ini adalah insiatif yang mula diperkenal oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk generasi pertama yang cemerlang dalam kalangan B40 yang kurang berkemampuan. 


Mohamed Khaled Nordin sampaikan 'mock card' Program Sulung 2.0 kepada pelajar B40 UUM.

“Melalui program ini setiap pelajar akan dibiayai sebanyak RM833 untuk setiap semester yang menjadikannya RM4,998 seorang bagi sepanjang enam semester pengajian mereka nanti,” ujarnya selepas menyampaikan ‘mock card’ kepada 10 pelajar dari universiti ini.

Kesemua mereka yang menerima insiatif ini melibatkan semua bidang pengajian peringkat ijazah sarjana muda yang terdiri dari 188 pelajar baharu dan 200 orang yang menerima bantuan pinjaman PTPTN serta bantuan-bantuan pinjaman lain setelah melalui penilaian dan pengesahan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP).


Mohamed Khaled  bergambar dengan 10 penerima Program Sulung 2.0 UUM.

Pada majlis ini juga anak syarikat UUM iaitu Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB) menyerahkan ‘mock cheque’ hasil royalti RM1.5 juta kepada Naib Canselor untuk membiayai program Sulung 2.0 yang dianjurkan ini.

Manakala Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) melalui Pengarahnya, Dato’ Profesor Dr. Nasrudin Mohammed menyerahkan ‘mock cheque’ berjumlah RM109,000 kepada Naib Canselor dan disaksikan menteri untuk sumbangan kepada Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UUM bagi menganjurkan Program Kepimpinan Inovasi dan Pengkomersialan Harta Intelek (InnoCoL) yang akan memberi pemahaman dalam aspek strategik dan pengoperasian aktiviti inovasi dan pengkomersialan harta intelek universiti.


Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB) menyerahkan ‘mock cheque’ hasil royalti RM1.5 juta kepada Naib Canselor UUM,  Prof Dr Mohd Foad Sakdan (kanan).
Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) melalui Pengarahnya Dr. Nasrudin Mohammed menyerahkan ‘mock cheque’ berjumlah RM109,000
Sempena lawatan kerja ke kampus ini Mohamed Khaled turut merasmikan Pusat Mahasiswa Istimewa atau dikenali sebagai Independent Living Centre (ILC) yang dibangunkan di bawah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Mahasiswa Istimewa Kebangsaan (PERMAI) telah dipertanggungjawabkan mengelola salah sebuah ILC yang dinamakan ILC PERMAI UUM dan ia merupakan satu-satunya ILC yang berada dalam kampus universiti.

Mengakhiri lawatan ini beliau turut dibawa melawat bilik kuliah ‘Virtual Classroom’, iaitu bilik kuliah yang dilengkapi kemudahan multimedia yang menyokong kepada Program HyFlex yang dicadangkan oleh KPT. - KitaReporters


Mohamed Khaled Nordin melawat bilik kuliah ‘Virtual Classroom’, iaitu bilik kuliah yang dilengkapi kemudahan multimedia yang menyokong kepada Program HyFlex yang dicadangkan oleh KPT.  

12
14
0
13
0
You will be interested