Kampus & Pendidikan 14 Feb, 2024

Pendidik pengubah generasi! UPSI terap BITARA! Bakat, Inovasi, Transformasi, Adab, Revolusi, Adaptasi!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


KONSEP BITARA menjadi landasan untuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim di Perak memacu kejayaan lebih cemerlang pada masa depan bukan sahaja peringkat nasional malah antarabangsa.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata UPSI mengecapi pelbagai kejayaan hasil perasaan kasih sayang seluruh warganya terhadap universiti pendidikan ulung negara itu.

Menurutnya, konsep berasaskan hasrat kebitaraan yang bermakna bijak tanpa tara atau unggul iaitu BITARA iaitu Bakat Unggul (B); Inovasi dan Penyelidikan (I); Transformasi Teknologi (T); Adab, Akhlak , Akademik (A); Revolusi Ekosistem (R); dan Adaptasi Global (A) untuk menjulang nama dan maruah universiti tercinta.

Jelas beliau, konsep itu selaras dengan gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar setiap mahasiswa dan akademia harus  mampu “Menggapai ke Langit, Mengakar di Bumi” sebagai amanah yang perlu dipikul UPSI.

“UPSI perlu bukan sahaja melahirkan pendidik malahan mengubah generasi seperti sumbangan legasi Pendeta Za’ba, Ibrahim Yaakub serta cendekiawan dan budayawan, Awang Had Salleh,” ujarnya ketika berucap sempena majlis Aspirasi Naib Canselor 2024 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah pada 7 Februari 2024.


Prof Dr Md Amin menyampaikan syarahan sempena majlis Aspirasi Naib Canselor.


Hadir sama pada majlis berkenaan, Pro Canselor, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Prof Emeritus Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar.  

Prof Dr Md Amin, berkata peranan universiti bukan sahaja UPSI perlu melahirkan murabbi yang cemerlang akademik, beradab, berbudaya dengan identiti keguruan yang bakal mengubah generasi hari ini yang dicabar oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

Justeru menurutnya, aspirasi UPSI tahun ini dibentuk bagi merealisasikan amanat Menteri Pendidikan Tinggi dengan memberi penekanan kepada aspek mengungguli bakat, memperkukuhkan ekosistem pendidikan, mempelbagaikan perkongsian baharu dalam perkongsian ilmu, mengantarabangsakan pendidikan tinggi serta mempelbagaikan ekosistem.

Beliau turut mengimbas pelbagai kejayaan UPSI antaranya penjanaan pendapatan akademik dan bukan akademik sebanyak RM119 juta, enrolmen 29, 213 pelajar pelbagai peringkat pengajian dan membuka tujuh pusat antarabangsa bahasa Melayu sehingga berjaya mengubah stigma masyarakat terhadap universiti.

Tambahnya, UPSI akan menjemput  dua tokoh tersohor pendidikan antarabangsa iaitu Prof Dr Howard Gardner dari Harvard University dan Prof John W. Creswell selain akademia mengikuti latihan antarabangsa dan kursus berprestasi tinggi di beberapa universiti terkemuka. 

Antara akademia UPSI yang hadir pada majlis Aspirasi Naib Canselor 2024 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah pada 7 Februari 2024.  


“Bagi meluaskan prasarana, UPSI kini giat membangunkan Pusat Latihan di Meru Raya di Ipoh, Industri Dalam Universiti, Pusat Data Raya, Sekolah Rendah Seri Budiman, Institut Tahfiz dan Turath Islami, Pusat Sokongan Akademik Pelajar Atlet, Galeri Muzik Diraja, Projek Solar, Pusat Komuniti dan Residen, Institut Bahasa Antarabangsa, Pusat Kesihatan, Pusat   Kokurikulum, Pusat Boling, Driving Range (Golf), Glamping Park, Taman Rusa, dan Cabin@Ujana bagi memperkasakan UPSI Edutourism,” ujanya.

Prof Dr Md Amin, berkata dia menyaksikan warga akademia, pentadbir dan pelaksana UPSI bersungguh-sungguh bertugas sehingga meningkatnya kedudukan UPSI pada peringkat dunia, malah anak-anak mahasiswa yang mempertahan, membela dan memelihara imej universiti sehingga dihormati masyarakat.

Hari ini UPSI menjadi universiti pilihan pertama masyarakat untuk melanjutkan pengajian, malah paling membanggakan apabila sepanjang tahun lalu (2023), UPSI menerima 88 lawatan antarabangsa dan tempatan.

Jelasnya, ketika beliau berada di Tashkent, Uzbekistan baru-baru ini, lebih membanggakan UPSI menjadi rujukan untuk khidmat konsultasi, selain pelbagai pihak menjadikan UPSI sebagai penanda aras dalam pelbagai bidang.

“Selain kejayaan mendapat geran penyelidikan, kita harus memikirkan bagaimana hasil penyelidikan dapat mengubah nasib anak bangsa dan negara seperti dalam mengatasi masalah tidak minat terhadap bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.

“Saya beranggapan dalam meniti cabaran tahun 2024, UPSI perlu mengembalikan peranan dan keberadaannya dalam kalangan masyarakat dengan mengutamakan kecemerlangan dengan jiwa dalam melahirkan keilmuan dan pencetus idea baharu,” tegas beliau. - KitaReporters


Akademia UPSI yang hadir merakam kenangan sempena majlis berkenaan.

30
25
0
6
0
You will be interested