Kampus & Pendidikan 26 Oct, 2023

Usaha perkasakan agenda mahasiswa! Jawatankuasa Pemilih Majlis Perwakilan Pelajar USIM ditubuhkan!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected]

Share this


Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberikan kebebasan kepada mahasiswa dalam membantu menguruskan universiti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) telah melaksanakan langkah memperkukuh agenda pemerkasaan mahasiswa dengan meminda proses pelaksanaan gerak kerja berkaitan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Pindaan proses gerak kerja tersebut termasuklah dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (JPMPP USIM) yang akan bertanggungjawab sepenuhnya bagi melaksanakan keseluruhan proses pemilihan MPP.

Cadangan penubuhan JPMPP USIM adalah bertujuan untuk memberikan peluang serta kepercayaan kepada pelajar sepenuhnya untuk melaksanakan Pemilihan MPP berdasarkan kepada tanggungjawab untuk merancang, mentadbir, menyelaras dan mengawal selia proses pelaksanaan Pemilihan MPP USIM dan semua perkara yang berkaitan dengannya.



Untuk tujuan ini, seramai 25 orang mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia daripada pelbagai badan pelajar dan wakil fakulti telah dilantik sebagai Ahli JPMPP USIM bagi Sesi Akademik 2023/2024. 

Majlis penyerahan watikah pelantikan JPMPP ini telah diadakan bertempat di Dewan Senat USIM pada 24 Oktober 2023.

Naib Canselor USIM dalam ucapan majlis penyerahan watikah pelantikan JPMPP mengucapkan jutaan tahniah dan penghargaan kepada JPMPP kerana sudi menyahut seruan pengurusan universiti khususnya dan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) amnya dalam  merealisasikan agenda pemerkasaan mahasiswa di USIM. Komitmen yang ditunjukkan melangkaui tugas biasa yang diadakan secara rutin.

“Besar harapan saya agar barisan JPMPP yang pertama ini menjadi pemudah cara kepada semua PTj di USIM dengan menjaga hubungan baik bersama pihak pengurusan universiti serta mengharmonikan perhubungan pelajar dan pihak pengurusan.” Katanya.



Sementara itu, Ahmad Muslimin Halim, Pengerusi JPMPP yang juga pelajar tahun akhir Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) berkata, JPMPP merupakan platform yang amat baik untuk melahirkan pelajar USIM yang mampu menguruskan proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar dengan baik dan jayanya. 

Selaras dengan harapan USIM untuk meningkatkan peratusan turun mengundi sebanyak 90% pada tahun ini, JPMPP juga diharap dapat membantu menyemai kesedaran dan semangat ingin turun mengundi dalam kalangan pelajar USIM.

Agenda pemerkasaan mahasiswa ini tercetus daripada usul yang dibentangkan oleh wakil kepimpinan mahasiswa yang diketuai Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan disambut baik oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memberikan autonomi kepada pelajar dalam menguruskan hal ehwal mahasiswa.

Turut dilancarkan pada majlis yang sama adalah logo rasmi JPMPP. Hadir sama pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Pelancaran Logo JPMPP USIM Sesi Akademik 2023/2024 adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff dan Pengarah PHEP, Md Ishah Rahman. - KitaReporters/USIM

8
16
0
16
0
You will be interested