Fakulti Pembangunan Manusia UPSI.
KETIKA pelbagai pihak berpolemik tentang Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sama ada relevan atau tidak kepada murid, pasukan penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, yang diketuai Prof Madya Dr Norazilawati Abdullah dari Fakulti Pembangunan Manusia turut membuat kajian perkara itu baru-baru ini.
Kajian beliau dibantu oleh Penyelidik Bersama iaitu Dr Hairul
Faiezi Lokman dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas; Dr Vijaya
Letchumy Baskaran (Pejabat Pendidikan Daerah Manjung, Jabatan Pendidikan Negeri
Perak); Dr Saniah Sembak (Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar
Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia); Dr Eftah Moh @ Abdullah (Inspire
Kids Preschool); Prof Madya Dr Mazlina Che Mustafa (NCDRC/FPM, UPSI) serta Dr
Mazarul Hasan Muhamad Hanafi (FPM,UPSI).
Kajian Dr Norazilawati itu sudahpun dilaksanakan sejak 1 Julai 2022 dan dijangka berakhir pada Disember 2024 nanti.
Prof Madya Dr Norazilawati (dua dari kanan) bersama rakan yang melakukan penyelidikan mengenai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sejak 1 Julai 2022 dan dijangka berakhir pada 31 Disember 2024.
Mereka yang menjalankan penyelidikan menerusi dana Geran Kumpulan Berkepentingan Khas (Special Interest Group) di bawah Geran Penyelidikan Universiti (GPU) itu menjalankan “Kajian Penilaian Keberkesanan Pelaksanaan PBD terhadap Kemenjadian Murid B40 Prasekolah dan Sekolah Rendah” terhadap 400 guru sekolah rendah.
Dr Norazilawati, berkata kajian mendapati tahap pelaksanaan PBD dari dimensi konteks meliputi persekitaran pengajaran, prasarana mendapati kebanyakan guru menyatakan persekitaran kerja di sekolah iaitu sokongan pentadbir dan kerjasama rakan sekerja sangat membantu mereka dalam melaksanakan PBD secara formatif dan sumatif.
Kajian mereka juga mendapati tahap pelaksanaan PBD secara dalam talian dari dimensi proses pula meliputi kaedah pengajaran guru dan sistem pelaporan juga berada pada tahap yang tinggi malah boleh menerangkan kepada ibu bapa tentang pelaporan Tahap Prestasi (TP) murid.
“Kajian ini umumnya mendapati adanya kesan dan hubungan yang kuat kepada produk pelaksanaan PBD dari aspek kemenjadian murid B40 yang meliputi aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap.
"Guru menyatakan bahawa murid mereka boleh memberi respons yang menjurus ke arah pemikiran kritis dan kreatif berkaitan isi pelajaran menerusi pelaksanaan PBD.
“Kajian kami juga mendapati tiga cabaran yang wujud dalam pentaksiran PBD berlegar kepada tiga aspek iaitu pengetahuan, pencapaian dan pelaksanaan.
"Elemen pengetahuan menjurus kefahaman segelintir guru dan pentadbir dalam melaksanakan PBD di sekolah dan salah satu puncanya adalah kurangnya pengetahuan dalam merungkai kandungan mahu pun silibus dalam mata pelajaran," ujar beliau.
Selain itu, keselarasan dalam pelaksanaan pada peringkat sekolah, daerah dan negeri sering kali mendapat rungutan oleh guru.
Justeru, jelasnya,
untuk mengatasi masalah itu, dicadangkan supaya guru sendiri perlu mahir
membina item pentaksiran dan perlu sentiasa merujuk Dokumen Standard Kurikulum Dan Prestasi (DSKP) setiap masa dan tidak
hanya bergantung kepada buku aktiviti sedia ada.
Menurutnya, segelintir ibu bapa terutama golongan B40 yang masih
tidak cakna apakah sebenarnya pentaksiran PBD, disebabkan itu sikap dan
pemahaman ibu bapa terhadap PBD perlu dipertingkat berikutan golongan B40
menghadapi cabaran yang lebih besar seperti masalah kewangan dan kemudahan yang
boleh diberi kepada anak-anak supaya lebih serius terhadap proses pembelajaran.
Dr Norazilawati, berkata oleh itu guru perlu sensitif dan
peka terhadap golongan murid B40 untuk menjalankan pembelajaran secara terbeza supaya
setiap murid dapat ditaksir secara telus dan adil kerana masalah tiada
kesungguhan murid, jumlah murid yang terlalu besar dalam sesebuah kelas.
Bagi meningkat motivasi murid, katanya, guru perlu mengelakkan pentaksiran dilakukan secara ‘one size fits all’ untuk setiap murid di kelas atas sebab bilangan murid yang ramai dalam sesebuah bilik darjah supaya lebih adil dan saksama.
Beliau berkata, walaupun PBD mempunyai cabaran namun PBD
turut memberikan banyak impak yang baik malah dilihat sebagai sebuah
pentaksiran yang bersifat holistik melalui aspek pembelajaran yang komprehensif
merangkumi aspek kemajuan, perkembangan dan pencapaian.
Tambahnya, PBD boleh membantu murid dalam meningkatkan mutu pencapaian
dan keupayaan dalam menguasai mata pelajaran adalah sangat tinggi. Beberapa
cabaran dan impak PBD merupakan satu proses yang wajar dipandang oleh semua
masyarakat khususnya pendidik, ibu bapa dan murid.
Menurutnya, sebagai pendidik beberapa siri program lanjutan bagi berkenaan PBD perlulah dilakukan secara berkala. Kekreatifan guru juga dituntut dalam melaksanakan PBD melalui inisiatif kendiri.
Ibu bapa pula perlulah lebih cakna dengan pentaksiran PBD melalui sesi perkongsian dan penerangan yang disampaikan oleh pihak sekolah dan kementerian.
Dr Norazilawati turut menyarankan supaya KPM membuat kajian semula kandungan silibus yang dilihat terlalu banyak dan sukar perlu diberikan perhatian. Manakala keselarasan dalam pelaksanaan sama ada pada peringkat pusat, negeri, daerah dan sekolah perlulah diberikan perhatian menyeluruh supaya PBD dapat dilaksanakan mengikut matlamat asal pelaksanaannya. - KitaReporters