Kampus & Pendidikan 26 Apr, 2025

Ayuh Selangkah Ke UiTM! Ekspo maklumat terkini dan peluang pengajian! Jadikan UiTM Pilihan No.1!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Ekspo Selangkah ke UiTM (ESKU) kembali lagi tahun ini (2025) dengan pendekatan lebih strategik dan interaktif dalam usaha menyampaikan maklumat terkini kepada para pelajar lepasan SPM dan kolej matrikulasi mengenai peluang pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM). 

Acara utama ESKU 2025 berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 April 2025 bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang. 

Selain itu, ESKU 2025 turut diadakan di UiTM Cawangan Negeri seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, bermula 10 Mei hingga 18 Mei 2025 mengikut jadual yang boleh dilayari melalui pautan selangkah.uitm.edu.my. 

Dilancarkan sejak tahun 2008, ESKU merupakan acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh pelajar dan ibu bapa sebagai platform utama mendapatkan maklumat tepat dan terkini berkaitan kursus, program akademik, peluang pembiayaan, serta syarat kemasukan ke UiTM. 

Pada tahun 2025 ini, ESKU 2025 dilihat lebih signifikan memandangkan seramai 402,918 pelajar yang menerima keputusan SPM pada 24 April lalu dijangka hadir untuk mendapatkan panduan dalam membuat pilihan pengajian tinggi. 



Mengulas mengenai ESKU 2025, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, berkata penganjuran tahun ini (2025) lebih bersifat inklusif dan memfokuskan kepada pendekatan mesra pelajar dengan membawa tema dan slogan “Jadikan UiTM Pilihan No. 1” yang disokong oleh penggunaan logo khas bagi memperkukuh penjenamaan universiti. 

“Kita mahu memastikan UiTM terus menjadi pilihan utama bukan hanya dari aspek akademik, tetapi juga nilai tambah yang ditawarkan – termasuk kebolehpasaran graduan, kemudahan pembiayaan, dan jaringan industri,” katanya. 

Statistik semasa menunjukkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan UiTM bagi tahun 2024 telah meningkat kepada 92.6%, sekali gus menjadikan UiTM antara universiti paling diyakini oleh majikan. 

Pada 22 April 2025, UiTM turut menerima “Employers’ Choice of University Award” daripada Talentbank bersama beberapa universiti tempatan yang lain seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho, menyatakan bahawa pencapaian UiTM dan universiti awam yang lain amat membanggakan kerana berjaya melahirkan graduan yang bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran kerja, malah memiliki daya saing dan kemahiran insaniah yang tinggi.



Sepanjang ESKU 2025, pelawat berpeluang mengunjungi ruang pameran interaktif yang melibatkan penyertaan semua 31 Pusat Tanggungjawab (PTj) di UiTM. 

Pameran turut memberi peluang kepada pengunjung untuk berbincang secara terus bersama wakil akademik, mendapatkan khidmat nasihat, serta membuat semakan awal syarat kelayakan kemasukan melalui Sistem Semak Syarat di laman selangkah.uitm.edu.my. 

Menariknya, ESKU 2025 bukan sahaja menyasarkan pelajar lepasan SPM dan Matrikulasi, tetapi juga membuka ruang kepada ibu bapa dan golongan profesional yang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah. 

“UiTM komited untuk menyediakan pendidikan menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat — sama ada mahasiswa baharu atau calon Sarjana dan PhD,” tambah Prof. Ts. Dr. Shahrin. 

Sebagai usaha berterusan memperkasa maklumat pendidikan tinggi, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat lengkap mengenai permohonan dan kemasukan ke UiTM dengan melayari portal rasmi pengambilan.uitm.edu.my/e-syarat atau mengunjungi reruai Bahagian Pengambilan Pelajar sepanjang ekspo berlangsung. - KitaReporters/Kenyataan Media

12
13
0
10
0
You will be interested