
Oleh MUHAMMAD ASHRAFF AIMAN ROSLAN
Kolej Kediaman UMT
Program "Kotak Jiwa: Lentera Ramadan" anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman bersama Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menyatukan warga universiti dan masyarakat setempat dalam suasana penuh makna di Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT.
Program pada 15 Mac 2025 itu bertujuan menyemarakkan semangat Ramadan serta mengajak peserta mendalami nilai keinsafan dan ketakwaan.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain yang menekankan kepentingan Ramadan sebagai bulan penyucian jiwa dan peluang memperkukuh hubungan dengan Allah serta sesama insan.
"Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga waktu terbaik untuk kita muhasabah diri dan memperbaiki hubungan sesama insan," katanya dalam ucapan perasmian.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengarah Kolej Kediaman, Prof. Madya Ts. Dr. Nik Aziz Nik Ali; Timbalan Pengarah Kolej Kediaman Dalam Kampus, Zulkarni Ismail; dan Timbalan Pengarah Kolej Kediaman Luar Kampus, Mohd Yusmiza Mamat.

Dengan tema "Lentera Ramadan", program itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan azan (Lisanul Haq), hafazan, kaligrafi khat, sesi perkongsian ilmu serta "Vivid Ramadan" yang memberi manfaat kepada 110 pelajar Madrasah Seberang Tuan Chik dan 20 pelajar Madrasah Darul Iman.
Kejayaan program itu turut didukung oleh penaja seperti RHB Bank, RSF Caffolders, PBG Maju Cafe serta Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman yang menyumbang bagi menjayakan acara itu.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Kolej Kediaman, program itu bukan sahaja menyokong nilai kebajikan dan semangat berbakti melalui aktiviti keagamaan, tetapi juga mencerminkan komitmen UMT dalam menganjurkan program berteraskan nilai insaniah dan pembangunan sahsiah.
UMT terus berusaha melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki jati diri serta nilai murni yang kukuh.
Bulan Ramadan sememangnya menjadi platform terbaik bagi institusi pendidikan untuk membudayakan nilai keagamaan dan mengeratkan hubungan sesama warga kampus serta masyarakat setempat. - KitaReporters/UMT
