Suasana di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Selasa, 28 Oktober 2025 bertukar menjadi hening sebaik nama Allahyarham Muhammad Afi Zahin Mohd Jamri disebut.

Dalam dewan yang biasanya bergema dengan sorakan dan senyuman, hadirin seakan-akan berkongsi rasa kehilangan apabila nama seorang anak muda yang sepatutnya berdiri megah di pentas meraikan detik kejayaan, namun kini hanya diwakili insan-insan yang menyayanginya.
Di pentas utama, Suhaida Md Basar, 41, ibu saudara Allahyarham melangkah perlahan dengan langkah penuh hiba menerima skrol ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan) dengan Kepujian bagi pihak arwah, pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik yang meninggal dunia pada 30 Julai 2025 akibat komplikasi jantung.
Detik itu menjadi antara momen paling menyentuh sepanjang Istiadat Konvokesyen UMT ke-23, apabila seluruh dewan berdiri memberikan tepukan penghormatan luar biasa tanda kasih, hormat dan doa yang tidak putus untuk seorang penuntut berjiwa besar yang tidak sempat meraikan kejayaannya sendiri.

“Dia sangat baik, aktif dan menenangkan. Sejak kecil lagi, arwah menunjukkan minat mendalam dalam bidang sains, terutama komputer dan matematik,” kata Suhaida dengan suara yang tersekat menahan sebak.
“Walaupun membesar tanpa kasih ibu kandung, arwah tak pernah menjadikan itu alasan untuk berhenti berjuang. Dia sentiasa yakin bahawa ilmu mampu mengubah nasib keluarga,” tambahnya lagi.
Dalam linangan air mata, Suhaida turut melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan UMT yang begitu prihatin terhadap keluarga mereka sejak pemergian arwah.
“Saya amat terharu dengan keprihatinan pihak universiti yang terus berhubung, mendidik baik arwah sepanjang belajar di kampus dan membantu menguruskan penganugerahan ini dengan penuh hormat dan kasih sayang. Ia menunjukkan nilai dan kebajikan yang tinggi dalam kalangan warga UMT,” ujarnya.

Bagi Muhammad Khair Zahazan Mohd Jamri, adik lelaki arwah Afi berusia 14 tahun, walaupun masih muda, kehilangan abangnya memberi kesan mendalam.
Namun, semangat yang ditinggalkan menjadi sumber kekuatan untuknya meneruskan perjuangan hidup.
“Walaupun saya kurang meminati bidang sains, saya akan teruskan legasi pengajian di universiti nanti. Saya akan cuba usaha seperti arwah abang,” katanya penuh tekad.
“Arwah mungkin tidak sempat menggenggam skrolnya sendiri, tetapi hari ini kami bangga kerana seluruh warga UMT mengiktiraf perjuangan dan jasanya,” katanya lagi.
Allahyarham Muhammad Afi Zahin Mohd Jamri antara 2,539 graduan yang diraikan sempena Istiadat Konvokesyen UMT ke-23 yang berlangsung pada 26-29 Oktober 2025 di kampus UMT. - KitaReporters/Kenyataan Media