DALAM bilik kuliah diaplikasikan secara teori dan bagi meningkatkan lagi kefahaman sekumpulan pelajar dari Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan (JSKP), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dibawa turun padang untuk mempraktikkannya dalam memahami realiti sosial yang berlaku seperti aspirasi Keluarga Malaysia.
Menerusi program Salam Kasih Aidilfitri 2022 pelajar-pelajar terbabit bersama-sama pensyarah dan kakitangan JSKP berkenaan mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor untuk menyantuni warga emas di situ pada 3 Jun 2022 lalu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sambutan Aidilfitri
Pelajar Fakulti Ekologi Manusia UPM mengagihkan cenderamata kepada warga emas di PJMM.
Ketua jabatan pengajian berkenaan, Dr Mohd Roslan Rosnon,
berkata menerusi program itu akan mendedahkan pelajar secara realiti sosial di
lapangan untuk berinteraksi dengan komuniti yang disantuni khususnya warga emas
yang menghadapi pelbagai masalah.
Selain itu, objektif program itu adalah bagi menyantuni
golongan yang memerlukan di samping mendidik dan membudayakan nilai, sikap dan
amalan saling menghormati, menghargai serta menyayangi sesama insan.
Menurutnya, dengan cara itu ia menjadi antara yang berkesan kepada pelajar bagi memahami serta mengetahui kehidupan masyarakat di sekeliling termasuk mengenai warga emas yang tersisih kerana tiada waris atau dipinggirkan ahli keluarga sendiri.
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia UPM bertanya khabar warga emas yang menjadi penghuni di PJMM sambil diiringi Azman (kanan) dan Mohiadin (dua dari kiri).
Tambahnya, apabila menyantuni warga emas terbabit pelajar
boleh membuat penyelidikan dengan berbual mesra bersama-sama penghuni yang
ditemui bagi mengetahui secara mendalam punca atau kisah menyebabkan mereka
mendiami pusat jagaan.
“Dengan cara ini juga mereka boleh memikirkan langkah baharu
atau berkesan untuk dilakukan membantu warga emas yang ditemui kerana
sebahagian besar mereka menghadapi pelbagai masalah temasuk dari segi
kesihatan.
“Justeru apa yang dipelajari secara teori dalam bilik kuliah boleh dipraktikkan secara amali dan kami pensyarah yang hadir bersama sentiasa bersedia untuk berkongsi ilmu serta memberi bimbangan kepada mereka,” katanya ketika di temui pada program itu.
Ketua JSKP, Dr Mohd Roslan Rosnon sedang bermesra dengan warga emas di PJMM sambil diperhatikan oleh Mohiadin dalam Program Salam Kasih Aidilfitri 2022 pada 3 Jun 2022 lalu.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia,
Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado; serta
pensyarah jabatan pengajian berkenaan.
Mohd Roslan berkata, program itu juga secara tidak langsung
bersesuaian dalam bidang pengajian ditempuhi pelajar yang membabitkan tumpuan
kajian pemahaman mendalam mengenai pembangunan komuniti.
Jelasnya, program berkenaan merangkumi aplikasi teori,
kaedah penyelidikan dan analisa aspek utama dalam bidang pembangunan komuniti
yang menyumbang ke arah meningkatkan kualiti hidup lebih baik.
Menurut beliau, dalam program terdahulu mereka menyantuni dalam kalangan golongan belia di Pulau Tioman bagi membantu mereka meningkatkan taraf komuniti termasuklah dari segi ekonomi supaya mampu berdaya saing.
Dr Mohd Roslan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Azman yang mewakili JPMM.
“Manakala dalam
program kedua ini pula kita membawa pelajar untuk menyantuni warga emas sebagai
melengkapkan pengetahuan dan kefahaman mereka mengenai sekumpulan komuniti yang
memerlukan perbelaan bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Sementara itu, Azman yang ditemui berkata, PJMM sentiasa
terbuka kepada sesiapa sahaja untuk berkongsi pengalaman atau membuat
penyelidikan mengenai pengurusan warga emas di situ supaya masyarakat di luar
lebih memahami nasib penghuni.
Menurutnya, warga emas di PJMM itu sebahagian besar adalah
tidak memiliki waris, tersisih tiada tempat untuk dituju selepas mendapat
rawatan pelbagai penyakit di hospital sebelum dirujukkan di situ untuk
meneruskan kehidupan.
“Tiada bayaran yang dikenakan ke atas mereka dan pusat ini beroperasi atas keprihatinan masyarakat membantu menginfakkan dana dan sebagainya disamping kami secara sukarela mencari sumber untuk membolehkan terus beroperasi,” katanya. - KitaReporters
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia UPM bersama-sama Azman dan Mohiadin menunjukkan buku Terkulai Di Senja Hari (TDSH) yang mengandungi 22 kisah benar penghuni pusat jagaan yang dijual bagi mencari dana.
Dr Mohd Roslan (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama pensyarah, pelajar dan sukarelawan PJMM pada Program Salam Kasih Aidilfitri.