Ts. Kamaruzaman Md. Ali menyerahkan Modul SLDN kepada Prof Dr Haim Hilman Abdullah (kanan).
PUSAT Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima Sijil Pentauliahan Pusat Latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.
Majlis penyerahan sijil itu dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPK, Ts. Kamaruzaman Md. Ali kepada Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin 24 Mei 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bidang perniagaan
Prof Dr Haim Hilman Abdullah (dua dari kanan) bergambar selepas majlis penyampaian Sijil Sijil Pentauliahan Pusat Latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.
Dalam ucapannya, Haim Hilman berkata, kehadiran JPK ini secara tidak langsung membuktikan sokongan berterusan terhadap kerjasama strategik dan inisiatif yang digerakkan oleh UUM khususnya dalam meningkatkan nilai tambah dan kebolehpasaran siswazah yang bakal dilahirkan oleh universiti, sekali gus memanfaatkan semua pihak.
“Tujuan kerjasama kali ini adalah bagi mendapatkan hands-on dalam penyeliaan operasi halal, meningkatkan kemahiran pelajar seterusnya membantu kebolehpasaran lulusan IBS secara khusus dan UUM umumnya.
“Dengan memiliki sijil ini pastinya menjadi nilai tambah kepada graduan yang tamat pengajian dalam Penyeliaan Operasi Halal ini memandangkan mereka akan belajar secara hands on dalam industri halal nanti,” ujarnya lagi.
Tambah Haim Hilman lagi, pentauliahan yang diterima ini merupakan perintis ke arah kerjasama strategik antara UUM dan pihak industri yang bersifat menang-menang serta menyumbang ke arah memperkasakan industri halal negara.
Sementara itu, Kamaruzaman dalam ucapannya berkata dengan penyampaian sijil ini menunjukkan IBS UUM telah ditauliahkan oleh JPK sebagai Pusat SLDN bagi menjalankan program Penyeliaan Operasi Halal dengan Kod Bidang M749-004-3:2020, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.
SLDN ini adalah satu konsep latihan kemahiran melibatkan latihan yang dijalankan di dua tempat 70 peratus hingga 80 peratus praktikal di industri manakala 20 hingga 30 peratus berkaitan dengan teori yang dibuat di institusi latihan.
Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 ini juga dapat membantu universiti melahirkan siswazah mahir yang terlatih dan berkelayakan bagi mempertingkatkan daya saing industri halal tempatan di pasaran dunia.
Menurut Kamaruzaman lagi, pendekatan SLDN ini dapat mengurangkan pengeluaran tenaga mahir yang tidak memenuhi kehendak semasa industri dan dalam masa yang sama memberi pendedahan kepada perantis akan situasi kerja yang sebenar.
“Dalam konteks ini kerjasama JPK dan Universiti Awam (UA) adalah tidak asing lagi pada masa kini melalui pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu,” sambungnya lagi.
Ts. Kamaruzaman Md. Ali (dua dari kiri) sedang menunjukkan Modul SLDN kepada Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin.
Namun dalam skop TVET perlu didasarkan kepada Standard Pekerjaan atau lazimnya disebut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang diiktiraf oleh JPK dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.
TVET bukanlah satu perkara yang asing di Malaysia namun TVET sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari sudut akademik.
Menurutnya stigma itu sudah lapuk ditelan zaman kerana kini lepasan program TVET kian mendapat perhatian oleh majikan dan kini terbukti dengan pentauliahan SLDN kepada IBS UUM. - KitaReporters