Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universitas Pembangunan Nasional Veteran Jakarta (UPNVJ) memeterai Surat Niat (LoI) pada 25 dan 26 Oktober 2024 lalu dalam satu majlis yang menandakan komitmen strategik untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran staf akademik dan pelajar, serta pelbagai aktiviti akademik masa depan.
Majlis menandatangi Surat Niat ini ini disempurnakan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Pembuatan Industri (FTKIP) UTeM, Prof. Ir. Ts. Dr. Hambali Arep, dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Kolaborasi UPNVJ, Dr. Nanang Alamsyah, yang mewakili Dr. Muchamad Aktaviandri, Pemangku Dekan Fakulti Kejuruteraan UPN Veteran Jakarta, Indonesia.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Seminar Permindahan Ilmu turut diadakan dengan tema “Implementasi Sistem Informasi Geografi (GIS) dalam Kejuruteraan Industri dan Rantaian Pembekalan”.
Seminar yang diketuai Dr. Yulizar Widiatama ini menarik lebih 50 mahasiswa dan penyelidik UTeM, yang mendalami teknik aplikasi GIS dalam penerokaan mineral baharu untuk pembangunan serta kitar semula selain mengoptimumkan proses berkaitan dalam bidang kejuruteraan industri dan pengurusan rantaian bekalan.
Dr Al Amin Mohamed Sultan, ketua projek yang mewakili UTeM berkata seminar ini juga turut merangkumi pengisian teknikal mengenai penggunaan Google Earth Engine untuk analisis data satelit dalam eksplorasi mineral.
“Teknologi ini berpotensi besar untuk diaplikasikan di Malaysia dalam mengenal pasti kawasan eksplorasi sumber mineral yang tepat dan berkesan, menjadikannya satu inovasi yang bermanfaat untuk pembangunan sumber daya negara,” kata Dr Al Amin yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Teknologi dan Kejuteraan Industri dan Pembuatan, UTeM.
Delegasi dari UPNVJ juga berpeluang melawat makmal dan fasiliti UTeM, di mana mereka menyaksikan kemudahan penyelidikan canggih yang dimiliki universiti tersebut.
Prof. Hambali berkata, kerjasama ini membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi, dan kami berharap dapat meningkatkan lagi visibiliti UTeM di peringkat antarabangsa melalui kerjasama seumpama ini.
“UTeM giat merancang program bercorak global serta sentiasa bersedia menerima kerjasama dari luar negara yang akan terus mengangkat kepakaran dalam negara untuk kebaikan sejagat,” katanya.
Delegasi tertarik dengan produk yang dipamerkan.
Dr. Yulizar Widiatama turut menzahirkan pandangannya mengenai peluang kerjasama ini serta menegaskan komitmen UPNVJ untuk meneruskan perancangan berkaitan penyelidikan bersama UTeM dan program-program lain yang akan dirancang bersama.
“UTeM mempunyai banyak contoh dan amalan terbaik yang kami boleh pelajari dan bawa balik ke UPNVJ. Kami juga berharap agar delegasi dari FTKIP UTeM dapat membuat lawatan balas ke UPNVJ untuk meneruskan kolaborasi akademik ini,” tambah beliau lagi. - KitaReporters