Kampus & Pendidikan 03 Oct, 2024

Terbaiklah SK Felda Chemplak! Tanam 150 pokok! Sempena program Bumi Hijau & World Clean Up Day 2024!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Gambar hiasan dari pintu utama SKFC.


SEKOLAH Kebangsaan Felda Chemplak (SKFC), Segamat, Johor bukan setakat berusaha menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar, malah berjaya memupuk hubungan harmoni serta kesepakatan bersama komuniti setempat dalam memasyhurkan sekolah berkenaan dalam pelbagai program.

Dalam hal yang sedemikian, SKFC tidak pernahkan menafikan kerjasama pelbagai pihak khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti setempat, pemimpin masyarakat, ketua agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya amat penting dalam menjayakan sesuatu program yang dilaksanakan.

Perkara itu terbukti apabila pelbagai pihak berkenaan mengambil bahagian secara langsung dan tidak langsung dalam menyokong dan memberi galakan bagi menjayakan program Bumi Hijau dan World Cleanup Day (Hari Pembersihan Sedunia atau WCD) 2024 SKFC pada 26 September 2024.


Guru, murid dan ibu bapa berganding bahu menanam pokok sekitar kawasan sekolah.


Focal Person Persatuan Ibu Bapa Komuniti (PIBK) Daerah Segamat, Hashim Mohamad Kalang dalam ucapan perasmian program berkenaan, mengakui dan memuji usaha SKFC dalam menjayakan program itu apabila membabitkan pelbagai pihak komuniti masyarakat dan bukan setakat dengan penyertaan guru dan murid sahaja.

Menurutnya, sebagai satu-satunya sekolah di daerah itu menyertai program berkenaan beliau melahirkan rasa bangga dengan pembabitan semua pihak, sekali gus membuktikan bahawa seluruh warga SKFC serta komuniti Felda Chemplak mempunyai kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Tambahnya, paling penting program sebegini semestinya mampu memberi impak positif kepada murid kerana mereka didedahkan dengan sikap bertanggungjawab dan bekerjasama dalam usaha menjaga kebersihan persekitaran. 


Hashim Mohamad Kalang (dua dari kiri) melakukan gimit perasmian program berkenaan sambil diperhatikan oleh Mohd Ali Hadoon (dua dari kanan).


Jelasnya, selain itu ia juga merupakan salah satu proses pembelajaran yang akan mendorong kepada kemenjadian murid untuk menjadi lebih cemerlang bukan setakat dalam pelajaran malah pendedahan bermanfaat pembabitan mereka dalam program sekolah apabila disertai pelbagai pihak.

“Penglibatan komuniti setempat juga amat penting bagi memastikan usaha melestarikan alam sekitar akan tercapai malah dalam program lain pada masa akan datang kerana membantu memasyhurkan SKFC kepada pihak luar.

“Menerusi kolaborasi pihak sekolah, PIBG, komuniti setempat, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan, swasta serta NGO beberapa aktiviti bercorak kemasyarakatan boleh dijalankan seperti gotong-royong, pembersihan kawasan awam atau penanaman pokok di sekitar sekolah.  

“Usaha kecil sebegini dapat memberi kesan untuk jangka masa yang lama sekiranya dilakukan secara berterusan, alam sekitar ini adalah kurniaan Allah untuk kita jaga sebaiknya tanpa melakukan sebarang kerosakan supaya generasi akan datang turut memperoleh manfaat,” ujar Hashim lagi. 


Hashim (kiri) menunjukkan isyarat bagus selepas menanam sebatang pokok pada majlis perasmian program berkenaan.


Turut hadir pada majlis perasmian program berkenaan, Guru Besar SKFC, Mohd Ali Hadoon; Yang Dipertua PIBG SKFC, Hamrin Paimin; Pengurus Bank Rakyat Cawangan Labis, Mohd Aznan Harun; Pengurus Felda Chemplak, Muhammad Firdaus Mohd Yusof; Pengurus Felda Chemplak Barat, Wan Muzammi Wan Junus; Ketua Kampung Felda Chemplak, Abd Razak Abd Rashid; Kami Anak Chemplak, Maznah Othman; Pegawai Perhubungan Sekolah Polis Diraja Malaysia (PPS PDRM), Lans Koperal Mohd Hafiz Ismail dan ibu bapa.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, pada program berkenaan 150 pokok berjaya ditanam hasil sumbangan dana daripada ibu bapa yang menyumbang satu pokok untuk sebuah keluarga dengan membabitkan penyertaan 218 murid prasekolah, pendidikan khas serta tahun satu hingga enam. 

Menurutnya, program itu bermatlamat ke arah menyemaikan kesedaran dalam kalangan generasi muda sekarang khusus pada peringkat sekolah rendah yang akan mampu mendisiplinkan mereka di samping berasa bertanggungjawab memulihara alam sekitar.


Murid SKFC mendengar taklimat daripada guru sebelum melakukan kerja menanam pokok.


Tambahnya, integrasi pengetahuan, kemahiran dan nilai murni dalam program itu juga dapat menyediakan kepada warga sekolah suasana serta budaya pengajaran dan pembelajaran berteraskan alam sekitar seperti mempraktikkan konsep kitar semula bahan disamping penanaman semula tumbuh-tumbuhan.

Jelasnya, pelaksanaan program itu juga mampu memberi impak positif bagi membentuk komuniti atau masyarakat yang cintakan alam sekitar di samping telus dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.

“Saya amat berpuas hati dan berterima kasih kepada semua terbabit khusus guru, murid, ibu bapa SKFC serta pelbagai pihak memberi kerjasama disamping sokongan moral untuk menjayakan program ini,” katanya lagi. - KitaReporters


Sebahagian murid SKFC merakam kenangan kegembiraan bersama guru selepas membantu pihak sekolah menanam pokok.

11
14
0
11
0
You will be interested