Kampus & Pendidikan 15 Nov, 2024

UPSI jadi idaman! Prasarana lengkap bertaraf nasional dan dunia! Tumpuan agensi kerajaan dan swasta!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

 

Bangunan Suluh Budiman berunsur seni bina Gotic dibina pada tahun 1920-an iaitu zaman Sultan Idris Training College.


PRASARANA yang lengkap mengamit lembaran baharu kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, kerana kini menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan korporat untuk melaksanakan pelbagai program berskala besar.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang melahirkan rasa kegembiraan dengan perkembangan itu, berkata berbanding lebih 10 tahun lalu, kini UPSI sudah melangkah jauh dalam menyediakan pelbagai kemudahan untuk masyarakat.

Menurutnya, segala prasarana yang ada bukan sahaja untuk warga UPSI, malahan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat selaras dengan konsep ‘Universiti Untuk Komuniti’.

Tambahnya, kemudahan yang ada itu kini mendapat sambutan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan dan korporat untuk menjayakan pelbagai program seperti sukan, kebudayaan serta pelaksanaan pelbagai seminar serta persidangan peringkat nasional dan antarabangsa.


Bangunan Dewan Tuanku Canselor yang sesuai untuk persembahan skala besar.


Terbaharu, jelasnya, menyaksikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memilih Dewan Tuanku Canselor (DTC) sebagai lokasi menyemarakkan teater tradisional iaitu Mak Yong yang dihadiri lebih 5,000 penonton, sekali gus menjadikan UPSI sebagai pusat memartabatkan budaya dan seni negara.

“Saya mengalu-alukan pelbagai agensi untuk melaksanakan program di DTC yang boleh muatkan 5,000 penonton malah dilengkapi dengan kemudahan teknikal, skrin LED, penataan bunyi yang bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu hebahan kepada media pada 13 November 2024.

Untuk rekod, UPSI baru sahaja membuka UPSI Sports Bowl 24 lorong yang kini menjadi tarikan dan tumpuan masyarakat bukan sahaja sekitar Tanjung Malim, malah dari luar.

Dari segi penginapan, UPSI memiliki Scholars’ Suite di lokasi sangat cantik yang dilatari hamparan Banjaran Titiwangsa dengan menjanjikan ketenangan kepada pengunjung.


UPSI Super Bowl menjadi tumpuan orang ramai sejak dibuka Oktober 2024 lalu.


Menurut Prof Md Amin, selain mempunyai kolam renang bertaraf Olimpik dan UPSI Sports City, UPSI juga memiliki UPSI Adventure Park di Kampus Sultan Azlan Shah yang menjadi tumpuan pelbagai agensi kerajaan melaksanakan kursus pembinaan pasukan yang dikendalikan oleh tenaga pakar UPSI sendiri.

Menariknya, dalam pakej kursus yang ditawarkan itu, peserta akan berpeluang menjalani aktiviti Water Rafting di sungai-sungai arus deras sekitar Muallim dan Batang Padang. 

Selain menawarkan sewaan menaiki kenderaan serba rupa bumi (ATV), katanya, UPSI sedang giat membangunkan kawasan perkhemahan “glamping” di tepi tasik yang dijangka boleh digunakan orang ramai pada awal tahun depan.


UPSI Adventure Park menjadi pilihan pelbagai agensi kerajaan dan korporat menjayakan kursus pembinaan pasukan.


Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City berkeluasan lebih 850 ekar, manakala Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjong Malim yang berkeluasan 85 ekar adalah kampus bersejarah yang memiliki tujuh bangunan dan digazet sebagai bangunan warisan, antaranya Bangunan Suluh Budiman dan Rumah Za’ba iaitu pendeta bahasa terkemuka tanah air.

Bangunan Suluh Budiman yang kini dijadikan Muzim Pendidikan Nasional (MPN) pernah dipilih sebagai lokasi penggambaran filem komedi kontemporari  “Mengonjang Makhluk Muzium” lakonan Usop Wilcha dan arahan Allahyarham Mamat Khalid pada 2015.

“UPSI yang menjadi destinasi pelancongan daerah Muallim menjanjikan pengalaman menarik untuk dibawa pulang oleh sesiapa sahaja dan pasti akan berkunjung lagi serta menjadi pilihan ramai nanti,” ujarnya lagi.


Rumah Za’ba di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

4
4
0
6
0
You will be interested