Kampus & Pendidikan 15 Apr, 2025

Semakin cemerlang! UPSI raih emas, perak MTE 2025! Hasilkan dua inovasi pendidikan bertaraf dunia!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Dari kanan: Dr. Saipolbarin Ramli, Dr. Sakinah Salleh, Dr. Norazilawati Abdullah dan Dr. Intan Farahana bergambar di gerai pameran UPSI sempena MTE 2025.


Dua projek inovasi pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, iaitu Kurikulum dan Modul Thalatha Tis’a, serta Program Pensijilan Profesional Guru Takmir mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

Anugerah Pingat Emas dan Perak diperoleh pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2025 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur pada 22 Februari 2025, sekali gus terus mengukuhkan UPSI pada kedudukan sebagai institusi penyelidikan pendidikan terkemuka.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, menyifatkan kemenangan itu sebagai satu pencapaian besar bagi universiti dalam memperkukuh peranan UPSI sebagai institusi yang mendukung inovasi dalam pendidikan.

Menurutnya, kejayaan berkenaan bukan sahaja mengiktiraf usaha gigih penyelidik UPSI tetapi juga membuktikan bahawa institusi tempatan mampu bersaing pada peringkat antarabangsa, manakala anugerah Pingat Emas dan Perak yang diperoleh menjadi bukti bahawa UPSI terus relevan dalam penghasilan penyelidikan berimpak tinggi.

Tegas beliau, UPSI akan terus memperkasa penyelidikan dan inovasi bagi menghasilkan penyelesaian yang dapat memberi manfaat kepada sistem pendidikan negara.

Jelasnya, UPSIi akan terus menyokong usaha penyelidik dalam menghasilkan inovasi yang bukan sahaja meningkatkan kualiti pendidikan tetapi juga memberi kesan langsung kepada pembangunan modal insan.


Juri pemarkahan (tengah) bergambar bersama ketua pasukan penyelidik Kurikulum dan Modul Thalatha Tis’a, Dr. Norazilawati (kanan) serta Dr. Sakinah ketika melawat gerai UPSI sempena MTE 2025.


Tambahnya, melalui pengiktirafan itu, UPSI terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam inovasi pendidikan, seiring dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi celik al-Quran yang berdaya saing.

“Pencapaian ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang pendidikan dan pembangunan kanak-kanak di Malaysia,” kata Dr. Suriani.

Projek inovasi itu diterajui Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah bersama Dr. Sakinah Salleh dari Pusat Ulul Albab UPSI dan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK); Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa dan Dr. Intan Farahana Abdul Rani dari Pusat Penyelidikan Pembangunan Kanak-Kanak Kebangsaan (NCDRC) dan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM); serta Prof. Madya Dr. Aslina Saad dari Fakulti Komputeran dan META-Teknologi (META).

MTE 2025 yang berlangsung dari 20 Februari hingga 22 Februari 2025 itu menjadi medan kepada penyelidik dan inovator dalam serta luar negara untuk mempersembahan hasil ciptaan mereka.

Dr. Norazilawati berkata, kurikulum itu melalui pelbagai fasa pembangunan dan penilaian sebelum mencapai tahap pengiktirafan antarabangsa. 

Menurutnya, Kurikulum dan Modul Thalatha Tis’a yang meraih Pingat Emas dirangka bagi memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21 dengan mengintegrasikan teknologi pendidikan serta pendekatan pedagogi inovatif dalam pembelajaran hafazan al-Quran.

“Pencapaian ini membuktikan keupayaan penyelidikan tempatan dalam mencetus perubahan positif dalam sistem pendidikan.

“Kejayaan ini turut  disokong sepenuhnya oleh penaung program, Tan Sri Idris Jusoh, serta pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) yang berperanan dalam memperkasakan penyelidikan dan inovasi UPSI,” jelas beliau lagi.


Penyampaian Pingat Emas oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati (dua dari kiri) kepada Dr. Norazilawati sempena MTE 2025.


Sementara itu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI yang diketuai Prof. Madya Dr. Saipolbarin Ramli yang memenangi Pingat Perak bagi projek Program Pensijilan Profesional Guru Takmir, berkata, program itu bertujuan untuk memperkasakan guru takmir dengan pengetahuan dan kemahiran yang lebih mendalam dalam pengajaran agama Islam di surau dan masjid di seluruh negara.

Katanya, program itu dirangka bagi memberi pendedahan kepada guru takmir mengenai pendekatan pedagogi moden, penggunaan teknologi dalam penyampaian kuliah, serta pengetahuan mendalam dalam bidang syariah dan fiqh.

“Dengan adanya pensijilan ini, guru takmir dapat meningkatkan keberkesanan dalam menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat, selari dengan keperluan semasa dan perkembangan teknologi pendidikan, kejayaan ini menunjukkan komitmen UPSI dalam memastikan pendidikan Islam terus relevan dan berkualiti.

“Program Pensijilan Profesional Guru Takmir ini membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja menumpukan kepada pendidikan arus perdana, tetapi juga berperanan dalam memperkasakan pendidikan Islam secara lebih meluas,” tegasnya. - KitaReporters

13
12
0
15
0
You will be interested