.
Majlis pelancaran buku bertajuk 1 Juta Pokok, 1 Hari, 1 Komuniti yang berjaya diterbitkan oleh UUM Press berlangsung dengan jayanya di Dewan Seminar A Kompleks Konvensyen UUM pada 16 April 2025 dan kini diabadikan dalam satu kenangan.
Buku itu mendokumentasikan kejayaan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam melaksanakan program bersempena sambutan Hari Bumi pada 22 April 2024.
Majlis pelancaran buku itu disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan disaksikan oleh pelbagai pihak, termasuk pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud berkata, pelancaran buku itu merupakan satu pencapaian penting, kerana ia bukan sahaja mendokumentasikan program tersebut dalam bentuk visual dan naratif yang mudah difahami, tetapi juga berfungsi sebagai sumber rujukan yang lebih bermakna.

Menurutnya, program yang unik ini membuktikan bahawa teori boleh diterjemahkan ke dalam tindakan yang nyata.
"Bermula daripada inspirasi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dengan sasaran untuk menanam 1 juta pokok dalam sehari berjaya direalisasikan dan menjadikannya yang pertama seumpamanya di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, program diadakan itu memiliki nilai akademik yang signifikan, menggabungkan teori dan amalan yang jelas serta berkesan dalam pencapaian objektifnya.
"Di bawah bimbingan serta idea daripada Tuan Yang Terutama, program ini mendapat sambutan yang luar biasa dari pelbagai lapisan masyarakat hingga merentas daerah dengan peserta dari pelbagai peringkat umur," katanya lagi.
Rozali turut menekankan bahawa pada 22 April 2024, pokok ke-1,000,000 berjaya ditanam hingga menjadikan program ini sebagai game changer dalam usaha melestarikan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Dalam aspek penyertaan, sebanyak 338 sekolah turut serta dalam program ini dengan lebih daripada 121,000 pelajar terlibat.
Sebanyak 154,673 pokok gelam paya menghiasi sekolah-sekolah tanpa memerlukan peruntukan modal, sementara 183,941 pokok limau kasturi telah ditanam di seluruh negeri Pulau Pinang.

Ahmad Fuzi Abdul razak (empat dari kanan) bergambar kenangan selepas menyampaikan sumbangan kepada tiga orang penerima cek pada majlis pelancaran buku bertajuk 1 Juta Pokok, 1 Hari, 1 Komuniti.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan pula berkata, pelancaran buku tersebut membawa mesej penting mengenai kelestarian alam sekitar serta semangat kebersamaan dalam komuniti.
"Warga UUM berbangga kerana dapat berkolaborasi dalam penerbitan naskah itu. Ia bukan sekadar dokumentasi tetapi juga simbol perjuangan kolektif dalam menghadapi isu perubahan iklim dan pemeliharaan biodiversiti.
"Ia mencerminkan sinergi antara akademia, komuniti dan kerajaan dalam menjayakan aspirasi pembangunan lestari," katanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada penulis dan penyelidik dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) serta UUM Press atas usaha gigih dalam menghasilkan buku bernilai itu.
Majlis turut menyaksikan sesi penyerahan cek berjumlah RM35,000 bagi Geran Percetakan Buku 1 Juta Pokok, 1 Hari, 1 Komuniti (RM20,000) kepada Pengarah UUM Press, Prof. Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi; sumbangan RM10,000 kepada Kelab Patriot Chapter Pulau Pinang yang diterima oleh Presidennya, Siti Nurul Aulia Abdul Malek; serta wakaf buku sebanyak RM5,000 yang diserahkan kepada Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Dr. Zulkurnai Ghazali.

Ahmad Fuzi menanam pokok sebagai tanda simbolik pada majlis pelancaran buku.
Terdahulu, Ahmad Fuzi turut berkesempatan menanam pokok sebagai simbolik Majlis Pelancaran Buku 1 Juta Pokok, 1 Hari, 1 Komuniti di pekarangan Kompleks Konvensyen UUM di Sintok.
Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed. - KitaReporters
