Kampus & Pendidikan 21 Apr, 2025

Rumah Terbuka Luar Kampus! Anjuran HEPA UMT di Kampung Tok Jembal! Lebih 1,000 pelajar, penduduk hadir!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Dr. Mohd Izani Mohd Zain berucap pada Program Rumah Terbuka Luar Kampus UMT 2.0 di Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu pada 10 April 2025.


Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Kolej Kediaman, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah berjaya menganjurkan Program Rumah Terbuka Luar Kampus 2.0 bertempat di Dewan Serba Guna Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu pada 10 April 2025 yang berlangsung penuh meriah dan harmoni. 

Program tahunan ini merupakan inisiatif strategik yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara mahasiswa luar kampus dengan komuniti setempat, di samping menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan warga universiti.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), dan turut dihadiri Mohd Yusmiza Mamat, Timbalan Pengarah Kolej Kediaman Luar Kampus. 

Turut hadir, staf pengurusan HEPA, barisan Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus (JPLK), Key Player Perwakilan Luar Kampus (KPLK), pelajar luar kampus, serta komuniti Kampung Tok Jembal.


Suasana ceria pelajar luar kampus yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Luar Kampus HEPA UMT


Menurut Profesor Dr. Mohd Izani, program seperti ini memainkan peranan penting dalam memupuk semangat keprihatinan dan nilai kemasyarakatan dalam kalangan mahasiswa UMT. 

“Program Rumah Terbuka Luar Kampus ini merupakan satu manifestasi usaha UMT dalam membentuk mahasiswa yang cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga holistik dari segi sahsiah dan kepimpinan. 

"Melalui penglibatan langsung dalam aktiviti bersama komuniti, mahasiswa dapat menghayati nilai perpaduan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial yang sebenar.” ujar beliau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti Kampung Tok Jembal atas kesudian menerima warga kampus dan menyambut baik penganjuran program ini. 

Lebih 1,000 pelajar luar kampus telah terlibat dalam program ini, bersama penyertaan istimewa daripada 15 anak yatim Pusat Tahfiz Al-Sidiqi, 5 keluarga asnaf, serta sokongan daripada pengurusan dan staf HEPA, Felo Kolej, dan lebih 70 orang sukarelawan pelajar.


Jemputan istimewa anak yatim Pusat Tahfiz Al-Sidiqi diraikan di Majlis Rumah Terbuka Luar Kampus UMT


Menurut Pengarah Program, Nur Ain Safa Zamri, penganjuran program ini pastinya memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung bersama masyarakat luar kampus, malah membina jaringan sosial yang melangkaui sempadan universiti. 

“Rumah terbuka ini membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami secara lebih dekat budaya masyarakat majmuk, serta memperkukuh nilai perpaduan, keinsafan dan semangat sukarelawan yang tinggi,” ujarnya.

Antara pengisian program termasuklah jamuan Aidilfitri, persembahan pelajar, aktiviti bersama komuniti, penyampaian sumbangan dan cenderahati, serta peragaan pakaian tradisional pelbagai kaum. 

Suasana perayaan diserikan lagi dengan kerjasama erat komuniti Kampung Tok Jembal yang menerima baik kehadiran warga UMT.

Program ini turut mendapat penajaan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa keterlibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan. 

Mahasiswa luar kampus dan komuniti sekitar menyambut baik usaha murni UMT dan menzahirkan harapan agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai jambatan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti. - KitaReporters/Kenyataan Media


Dr. Mohd Izani Mohd Zain (tiga dari kiri) bersama pengurusan HEPA dan Pengarah Program yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Luar Kampus di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus.

16
13
0
14
0
You will be interested