
Dr Mohd Amir Mohd Zahari (tiga dari kiri) bersama pelajar program Sulung FBK.
Pelajar di bawah program Pembangunan Siswa Sulung 1.0 dan 2.0 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, memperlihat kemampuan menguasai empat bahasa.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin, berkata semua mahasiswa UPSI yang mengikuti program itu wajar menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa bagi menyerlahkan ketrampilan mereka selepas bergraduat.
Menurutnya, walaupun program itu memerlukan mahasiswa menguasai tiga bahasa, namun kebanyakannya mampu menguasai empat bahasa selain menguasai pelbagai kemahiran seperti yang didedahkan oleh universiti sepanjang pengajian mereka.
Tambahnya, mereka juga perlu menjadi benteng hadapan menyumbang kepada fakulti dalam menjulang kecemerlangan fakulti masing-masing selain pemerkasaan diri dalam menghadapi cabaran global.

Nurul Qasandra Dania Muhammad Luqman (tiga dari kanan) bersama rakan-rakannya yang mengikuti Program Sulung 1.0. - Kredit photo Ihsan UPSI.
Mahasiswa semester enam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, Nurul Qasandra Dania Muhammad Luqman, 22,
antara mahasiswa daripada program Siswa Sulung 1.0 yang berjaya menguasai empat
bahasa sepanjang mengikuti program itu.
Selain bahasa Melayu, Nurul Qasandra Dania menguasai bahasa
Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Sepanyol.
“Bahasa Melayu adalah bahasa ibunda saya dan menjadi bahasa utama dalam komunikasi harian dan bahasa Inggeris pula saya menguasainya sejak di sekolah menengah kerana minat mendalam saya terhadap bahasa antarabangsa ini,” kata Nurul Qasandra Dania.
Melalui pembacaan buku, tontonan filem dan mendengar lagu, beliau dapat meningkatkan kefasihan serta keyakinan dalam bertutur dan menulis dalam bahasa berkenaan.
Manakala mempelajari bahasa Mandarin sejak sekolah rendah
kerana dia belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (SJKC) dengan persekitaran sekolah
banyak membantunya memahami dan menggunakan bahasa itu dalam interaksi
seharian.
Katanya, walaupun bahasa Mandarin mempunyai sistem tulisan dan nada pertuturan yang berbeza, latihan berterusan melalui pembelajaran formal dan perbualan dengan rakan-rakan membantunya memperkukuh penguasaan bahasa berkenaan.
“Melalui program Siswa Sulung, saya berpeluang mengikuti kelas bahasa Mandarin dari Level Satu hingga Level Tiga yang sangat membantu dalam memperbaiki penguasaan bahasa ini,” ujarnya.

Dia juga mengambil kelas bahasa Sepanyol
sebagai satu cabaran baharu walaupun bahasa itu mempunyai struktur tatabahasa
yang unik, pembelajaran dalam kelas melalui aktiviti interaktif seperti
mendengar, bertutur dan role-play membantu memahami bahasa berkenaan dengan
lebih baik.
“Selain itu, saya menonton video, mendengar lagu, dan
membaca bahan dalam bahasa Sepanyol bagi membiasakan diri dengan sebutan dan
intonasi yang betul,” terang beliau.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Dr Mohd Amir Mohd Zahari, berkata program Siswa Sulung memberi peluang kepada mahasiswa mengembangkan kemahiran komunikasi dalam pelbagai bahasa, malah akan menjadi aset penting dalam kehidupan dan kerjaya mereka pada masa hadapan. - KitaReporters