Kampus & Pendidikan 21 May, 2025

Turn problems into opportunities! Tahniah Cikgu Ainol Anwar! Terima Anugerah Guru Berwibawa (OKU)!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Seorang pengetua dari negeri Kedah telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Berwibawa (OKU) sempena Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2025 yang telah diadakan di Sarawak pada 16 Mei 2025 yang lalu. 

Beliau ialah Cikgu Ainol Anwar Ahmad, 56, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Megat Dewa, Daerah Kubang Pasu, Kedah. 

Beliau telah berjaya menerima wang tunai berjumlah RM3,000, sebuah plak serta sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Hikmah Exchange Event Centre (HECC) di Kuching, Sarawak.

Beliau merupakan seorang guru yang buta sebelah mata kanan sejak tahun 2019. Walaupun dengan matanya yang sebelah beliau masih bergiat aktif menyampaikan motivasi kepada para pelajar di Negeri Kedah dan merupakan seorang aktivis masyarakat yang disegani dan dihormati di negeri Kedah. 



Dengan berprinsipkan "Turn problems into opportunities" beliau telah berjaya mengubah pemikiran guru-guru serta para pelajar untuk menghadapi cabaran hidup dengan tenang dan sentiasa menjadikan ia sebagai ruang dan peluang untuk terus mencapai kejayaan.

Beliau telah bergelar guru sejak 36 tahun yang lalu di mana penempatan pertama beliau bermula pada 3/12/1990 di SRK Jalan Kuantan 2 , Kuala Lumpur setelah tamatnya Kursus Perguruan di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Ketika ditanya apakah cabaran dunia pendidikan kini, beliau dengan yakin mengesyorkan agar akhlak dan adab perlulah ditekankan kepada para pelajar. 

Dengan demikian akan lahirlah nilai hormat-menghormati dan kasih sayang sesama insan. 

Akhirnya, para pelajar akan faham dan tahu peranan serta keudukan mereka sebagai pelajar. Ibu bapa juga akan lebih memahami peranan dan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak, para guru dan sekolah.

Ditanya lagi apakah kekurangan yang ada pada dirinya yang menjadi penghalang utama, beliau menjawab, keakraban beliau dan kawan-kawan serta hubungan baik dengan para guru yang memudahkan beliau melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan sebagai pengetua. 

Ketika mengalami masalah penglihatan, beliau masih berjaya menyempurnakan Kursus Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) pada tahun 2022 dan seterusnya berjaya dilantik sebagai pengetua pada tahun 2023 sebagai Pengetua di SMK Megat Dewa. 



Beliau seterusnya berpendapat bahawa setiap insan mempunyai kekurangan dan kelebihan yang tersendiri.

Apa yang penting, setiap individu perlulah mempunyai impian (dream) seterusnya keberanian (courage) akhirnya disusuli dengan meningkatkan ilmu pengetahuan (knowledge) supaya terus berada di landasan yang betul sebagai seorang pendidik.

Beliau pernah menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah Kepimpinan (Menengah), Anugerah Guru Bimbingan dan Kaunseling Cemerlang serta Anugerah Guru Berwibawa pada tahun 2023 dan 2024. 

Beliau juga telah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK), dan Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) oleh Sultan Kedah pada tahun 2015 dan 2022.

Selain itu , beliau turut memaklumkan di sebalik segala kejayaan yang diperolehi, sokongan ahli keluarga menjadi pendorong utama di mana beliau menganggap isteri tercintanya iaitu Wan Nooraini Megat Hanafi, 39, merupakan "tongkat" dan "sinar cahaya" beliau untuk meneruskan perjalanan tatkala menghadapi duri ranjau.

Sekiranya beliau berjaya menamatkan perkhidmatannya yang berbaki masa 4 tahun, di mana umurnya akan mencecah 60 tahun, secara rasminya beliau berjaya bergelar  seorang guru selama, 40 tahun.

Beliau berharap akan terus mencapai kejayaan demi kejayaan sehingga usia persaraan. - KitaReporters


13
6
0
16
0
You will be interested