Kampus & Pendidikan 24 Sep, 2023

Tahniah Nurul Atika! Program Sulung 2.0 penuhi Impian pelajar cemerlang lanjut pelajaran di UniMAP!

@unimap corp comm
Pusat Komunikasi Korporat UniMAP. Emel: [email protected]

Share this


Walaupun hanya menumpang jiran untuk ke mana-mana destinasi kerana tidak mempunyai kenderaan, tidak menghalang seorang remaja untuk belajar bersungguh-sungguh hingga mencapai keputusan yang cemerlang.

Nurul Atika Shaiful Abzan, anak sulung daripada tiga beradik perlu hidup berdikari mencari wang sendiri bagi keperluan pembelajaran dan membantu ibunya yang hanya seorang suri rumah.

Beliau merupakan antara calon terawal program Sulung 2.0 yang ditawarkan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sekali gus melegakan hati ibunya, Miss Arni Tehpuyu yang hanya bergantung wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat bagi menanggung dua lagi anak yang masih bersekolah.

Surat tawaran disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UniMAP Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli ketika mengunjungi pelajar berkenaan di Kompleks Perumahan Terinai, Wang Ulu, di Kangar pada 23 September 2023.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah UniMAP (Wakil Komuniti) Azihani Dato’ Ali bersama wakil Persatuan Anak Jati (JATI) Perlis, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar Prof Madya Dr Arif Anuar Mohd Salleh. 

Nurul Atika berkata sebelum ini beliau memilih UniMAP bukan sahaja kerana berhampiran dengan rumahnya, tetapi kerana berputiknya rasa cinta terhadap bidang Kejuruteraan Alam Sekitar selepas diperkenal oleh rakan baiknya.

Katanya, sahabatnya itu yang kini sedang mengikuti pengajian di UniMAP dalam bidang sama menjadi pendorong semangat Nurul Atika memilih universiti itu untuk melanjutkan pengajian.

“Rakan baik saya selalu bercerita mengenai kelebihan UniMAP menyebabkan saya nekad untuk memilih UniMAP bagi melanjutkan pengajian,” katanya yang memperolehi CGPA 3.78 ketika mengikuti pengajian di Kolej Matrikulasi Perlis sebelum ini.



Terdahulu, Zaliman berkata seramai 261 bakal pelajar UniMAP dikenal pasti bagi program Sulung 2.0 yang sebelum ini ditawarkan kepada pelajar kurang berkemampuan bagi menyambung pelajaran.

“Program Sulung yang diperluas daripada program sebelum ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membantu golongan pelajar B40 dengan memberikan pendidikan yang baik agar mereka dapat keluar dari kitaran kumpulan B40 seterusnya mengubah nasib keluarga mereka.

“Ramai pelajar yang cemerlang tetapi berputus asa untuk menyambung pengajian kerana kesempitan hidup, justeru program Sulung 2.0 ini akan membantu mereka sehingga mereka tamat pengajian dengan cemerlang,” kata beliau. - KitaReporters/UniMAP

8
11
0
14
0
You will be interested