Kampus & Pendidikan 18 Sep, 2023

Pendakian Merdeka Hiking MMU 2023! Pupuk semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan pelajar!

Share this


Seramai 54 pelajar dan kakitangan Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka, mendaki Bukit Beruang untuk memupuk semangat patriotik dan perpaduan sempena sambutan hari ulangan tahun kemerdekaan negara yang ke-66 dan Hari Malaysia.

Para pendaki yang terdiri daripada 47 pelajar dan 7 kakitangan MMU memulakan pendakian seawal 8 pagi dan tiba di puncak bukit tersebut selepas mengharungi perjalanan sejauh 2.38 kilometer (km) dengan mengambil masa dua jam 30 minit pada 20 Ogos 2023 lepas.



Pengarah program, Tay Sze Min berkata, pengembaraan itu telah menyemai nilai perpaduan dalam kalangan peserta yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pada masa yang sama memperkukuh semangat cintakan tanah air. 

Sepanjang perjalanan itu, beliau berkata, para peserta berasa amat gembira kerana dapat berkongsi pengalaman, bersama-sama menghadapi cabaran, memupuk nilai-nilai positif lain. 

“Merdeka Hiking ini bukan sahaja aktiviti yang menyihatkan badan serta menghargai alam sekitar tetapi juga ia telah menanam rasa cinta kepada negara dengan lebih mendalam,” kata pelajar Undang-Undang itu.



Mengimbas semula pengalaman menarik semasa mendaki, Sze Min berkata, saat-saat menggembirakan dikongsi para peserta dan akhirnya mereka berjaya menamatkan pendakian hasil daripada muafakat dan kerjasama setiap peserta.

“Kami telah sampai ke puncak bukit dengan membawa pelbagai pelajaran. Antaranya ialah ia mengukuhkan lagi perpaduan kami seperti sebuah keluarga tanpa mengira perbezaan latar belakang,” katanya.



Pelajar Undang-Undang, Muhammad Yusuf Akram Azharudin, 22, pula berkata, walaupun mengharungi cabaran tetapi ia dapat dihadapi dengan kerjasama erat dan semangat cintakan negara.

"Ekspedisi ini ini mengeratkan lagi hubungan kami untuk menempuh semua cabaran yang mendatang dengan semangat muhibah, harmoni, sabar, tolong menolong antara satu sama lain dan memahami pendakian ini seperti satu perjuangan yang mungkin sedikit sebanyak seolah-olah kepayahan yang dilalui generasi terdahulu dalam usaha mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah,” katanya yang berasal dari Johor.



Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Pelajar Kolej dengan sokongan Jabatan Gaya Hidup dan Pengalaman Pelajar MMU. Pengarah jabatan itu, Sri Kusumawati Mohd. Daud melahirkan rasa puas hati kerana program itu dapat menyemai semangat cintakan tanah air melalui aktiviti rekreasi. 

“Program ini telah memeriahkan lagi sambutan bulan kemerdekaan bagi memperingati peristiwa kemerdekaan negara pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September dalam kalangan pelajar MMU,” jelasnya. - KitaReporters/MMU

14
10
0
14
0
You will be interested