UOA Academy, pada 22 Disember 2025, melancarkan Majlis Pelancaran Pengambilan Pelajar Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan Sijil Profesional Seni Kulinari dan Sijil Profesional Servis Operasi Makanan dan Minuman, satu inisiatif berimpak tinggi yang dibiayai oleh TalentCorp Malaysia di bawah inisiatif MyMahir.

Seramai 50 orang pelajar daripada golongan rentan telah terpilih bagi pengambilan program ini, yang merangkumi anak Orang Asli, asnaf fakir miskin, anak yatim piatu, serta individu yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Program ini direka sebagai laluan pendidikan alternatif yang praktikal, berstruktur dan berfokus kepada kebolehpasaran kerja dalam industri hospitaliti dan perkhidmatan makanan.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran wakil-wakil industri strategik yang telah menjalin kerjasama bersama UOA Academy antaranya ialah Marriott Malaysia, Crowne Plaza KLCC by IHG, Pan Pacific Hotels Group, Concorde Hotel (HPL Hotels & Resorts), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), UOA Hospitality, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tradewinds Corporation Berhad dan The Danna Langkawi.
Kehadiran rakan industri ini mencerminkan sokongan padu sektor swasta dan agensi berkaitan terhadap usaha memperkasa TVET sebagai pemangkin mobiliti sosial.
Melalui pembiayaan di bawah inisiatif MyMahir, peserta program akan mengikuti latihan menyeluruh yang merangkumi pembelajaran berasaskan kemahiran sebenar, pendedahan industri, latihan praktikal serta persediaan kebolehkerjaan.
Pendekatan bersepadu ini bertujuan memastikan graduan bukan sahaja memperoleh sijil profesional, malah memiliki kompetensi yang selari dengan keperluan industri semasa.

Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pegawai Pembelajaran UOA Academy, Aqmal Fikri, menegaskan bahawa program ini merupakan satu intervensi sosioekonomi yang dirangka untuk mengubah trajektori kehidupan golongan terpinggir.
“TVET bukan sekadar tentang kemahiran teknikal. Ia adalah tentang membuka pintu harapan, memulihkan keyakinan diri dan menyediakan peluang pekerjaan sebenar yang disokong oleh industri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan industri yang tampil sebagai pemangkin kepada kejayaan dan kelestarian program ini.
Pelancaran ini sekali gus memperkukuh peranan UOA Academy sebagai penyedia pendidikan dan latihan yang komited terhadap agenda nasional pembangunan modal insan, selari dengan aspirasi negara untuk memperluas akses TVET yang inklusif, berimpak dan mampan.

Dengan sokongan berterusan TalentCorp Malaysia serta kerjasama erat pihak industri, UOA Academy optimis program ini akan melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia menyumbang kepada pertumbuhan sektor hospitaliti dan perkhidmatan makanan negara, di samping membuka lembaran baharu kehidupan kepada para peserta. - KitaReporters/Kenyataan Media