Lebih 1,475 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima wang tunai RM100 menerusi Program Bantuan Kembali ke Sekolah bersama Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Pusat Khidmat Kampung Benggali.

Pelajar-pelajar berkenaan membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, DUN Kuala
Sepetang dan DUN Trong dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang.
“Bantuan ini
bagi meringankan beban keluarga masing-masing dalam membuat persiapan menjelang
sesi persekolahan minggu ini di samping mengurangkan kos sara hidup yang
membebankan,” katanya pada majlis Bantuan Kembali Ke Sekolah di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, dekat
Taiping pada 10 Januari 2026.
Syed Abu
Hussin berkata, pihaknya memperuntuk sebanyak RM147,500 bantuan persekolahan pada
kali ini.
“Saya membuka permohonan persekolahan itu secara online bagi mengelak berlakunya kroni untuk memastikan pelajar yang layak dalam kawasan ini mendapat bantuan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah mengumumkan pemberian RM150 setiap seorang kepada pelajar dari sekolah kebangsaan sehingga ke Tingkatan 6 pada tahun 2026 ini.
Sementara itu, seramai 39 orang penduduk miskin menerima bantuan RM200 setiap seorang dalam usaha meringankan beban mereka untuk membeli barangan keperluan masing-masing. -KitaReporters

Sebahagian murid dan ibu bapa yang hadir bergambar dengan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Program Bantuan Kembali Ke Sekolah