Kampus & Pendidikan 09 Sep, 2025

Pelajar perlu Ilmu, Maju, Aktif, Nekad! IMAM mahu banteras dadah, rokok, vape, buli! Pupuk disiplin!

@abd razak osman
Bekas stringer Kosmo! dan mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Menulis selagi masih hidup. Emel: [email protected]

Share this

Pelajar sekolah menengah di negara ini tidak terkecuali daripada terjebak dengan kes penyalahgunaan dadah, merokok, menghisap vape dan perbuatan buli.


Pelajar asrama lelaki turut berikrar tidak akan terjebak dengan kelakuan tidak baik, termasuk perbuatan buli.


Pelbagai risiko bakal pelajar hadapi sendiri, termasuk kesan kanser paru-paru bila terjebak dengan gejala berlarutan itu.

Bagi melahirkan pelajar ada disiplin diri, tindakan awal dilakukan oleh pihak sekolah, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Selambau di Sungai Petani, Kedah dengan mengadakan Program Ilmu, Maju, Aktif, Nekad (IMAN) pada 3 September 2025 lalu.

Seramai 120 orang pelajar asrama dari tingkatan tiga, empat dan lima mengikuti ceramah lebih sejam daripada Naib Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Kuala Muda, Dr Novalan a/l Thiagarajan yang pernah berkhidmat di Hospital Sungai Petani hampir 20 tahun.

"Hendak melahirkan seorang pelajar yang ada disiplin diri bukan satu perkara mudah, guru yang prihatin sekadar mampu memberi nasihat dan teguran sahaja," katanya.


Noor Hazani Bidin (kiri) turut berdoa supaya pelajar sekolah tidak terjebak dengan gejala itu.


Program IMAN itu anjuran SMK Bukit Selambau dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) daerah Kuala Muda dan berlangsung di Dewan Makan Asrama sekolah berkenaan.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Noor Hazani Bidin berkata, inilah kali pertama, pihak sekolah mengundang pihak PEMADAM bagi menjalankan aktivitinya, termasuk ceramah mengenai pelakuan buli.

"Ceramah mengenai penyalahgunaan dadah, rokok, vape, disiplin pelajar boleh dijadikan panduan kepada pelajar sekolah untuk membaiki diri sendiri" katanya.


Aishah Husain mengetuai bacaan Ikrar Antidadah pada program itu.


Sementara itu, Setiausaha PEMADAM Daerah Kuala Muda, Abd Malik Baharuddin berkata, pihaknya memberi kerjasama dan setakat ini, hampir 1,000 pelajar dari beberapa buah sekolah berasrama telah mengikuti ceramah mengenai perkara tersebut.

"Gejala negatif itu mudah menular dalam kalangan pelajar sekolah dan ia amat membimbangkan," katanya.

Menurutnya, kesan pengaruh daripada rakan sebaya, menjadi punca beberapa pelajar perempuan juga terjebak dengan merokok dan menghisap vape.

"Bila program diadakan, ramai pelajar sekolah khusyuk mendengar ceramah dan kemudian membuat pelbagai pertanyaan," kata Abd Malik lagi.


Pelajar asrama perempuan SMK Bukit Selambau turut membaca Ikrar Antidadah. 


Sempena program, semua pelajar sekolah itu melakukan Ikrar Antidadah yang berbunyi:

"Bahawasanya kami, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau, berikrar untuk memerangi najis dadah pada setiap masa dan ketika, dengan menjauhi dadah agar dapat mewujudkan keluarga bahagia tanpa dadah, dapat mewujudkan suasana dan persekitaran sekolah bebas daripada dadah, mencegah pengedaran dadah dalam masyarakat, menerapkan nilai-nilai murni untuk membanteras dadah, membantu usaha-usaha kerajaan bagi membebaskan negara ini daripada ancaman dadah.

"Dadah musuh negara, perangi dadah habis-habisan. Benci dadah, benci dadah, benci dadah".

Bacaan ikrar tersebut telah diketuai pelajar tingkatan Lima, Aishah Husain.

Turut hadir, dua warden asrama sekolah itu, Wan Muhammad Zikri Wan Zamri dan Robi' Atul Adawiyah Abull Sattar serta Penyelia Asrama, Mazita Ismail. - KitaReporters 


Dr Novalan a/l Thiagarajan (berdiri, tengah) bergambar kenangan dengan jawatankuasa penganjur program tersebut.

 

16
19
0
9
0
You will be interested