Kampus & Pendidikan 14 Oct, 2022

UMT cakna pelajar asnaf! 500 pelajar baharu terima dermasiswa RM500! Satu terima Biasiswa Zakat UMT!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Dr Mazlan menyampaikan replika cek kepada seorang pelajar asnaf lelaki


UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud sentiasa komited dalam usaha memastikan kesejahteraan kewangan pelajar terpelihara dengan menyediakan pelbagai skim termasuk dermasiswa zakat pelajar bagi membantu meringankan beban golongan terbabit.

Bagi pendaftaran pelajar baharu kali ini, seramai 500 orang asnaf pelajar baharu telah terpilih untuk menerima Dermasiswa Al-Ikhlas sebanyak RM500 seorang berjumlah keseluruhan RM250,000.

Dermasiswa Al-Ikhlas merupakan sumbangan ikhlas Zakat Pendapatan Kakitangan UMT kepada pelajar baharu asnaf Ijazah Sarjana Muda Sesi 2022/2023 sebagai pendahuluan memulakan pengajian.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelajar-pelajar asnaf

Dr Mazlan


Penyampaian zakat Dermasiswa Al-Ikhlas ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar dengan disaksikan oleh Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amirri Ngah, yang mewakili Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu. 

Sumbangan zakat pendapatan kakitangan UMT pada tahun ini adalah daripada 364 orang kakitangan universiti tersebut yang berjumlah RM198,075.

Jumlah tersebut telah meningkat sebanyak 20% berbanding tahun sebelumnya, hasil daripada kesedaran dan kecaknaan kakitangan UMT untuk membantu pelajar.


Dr Mazlan Abdul Ghaffar (tengah) beramah mesra dengan pelajar asnaf yang menerima dermasiswa


Sempena majlis penyerahan tersebut turut diumumkan program AsnafPro yang julung-julung kali diperkenalkan di UMT, iaitu pembiayaan penuh biasiswa zakat UMT sepanjang pengajian kepada asnaf pelajar terpilih

Nurul Izzati Norlia @ Zulkifli, 20, berasal dari Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Terengganu, pelajar Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan) yang merupakan anak sulung dari tiga beradik serta telah kematian ibu dan bapa, terpilih untuk menerima Biasiswa Zakat UMT.


Seorang pelajar perempuan menerima replika  cek dari Dr Mazlan


Dr. Mazlan berkata, universiti itu sangat peka nasib pelajar asnaf dan berusaha membantu mereka.  

Katanya, pemulihan pandemik adalah fasa yang sukar bagi golongan B40 dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Oleh itu, pelan pembangunan asnaf dirancang dan dilaksanakan dengan memperkenal program AsnafXChange, AsnafPLUS dan AsnafPro.

“Kesedaran kempen sistem potongan zakat “Cukai Kepada Zakat” (C2Z) yang diperkenal sebelum ini juga telah menampakkan hasil. 

"Kecaknaaan warga UMT dalam membantu asnaf patut mendapat pujian apabila jumlah kutipan kali ini meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan. 

UMT menerima sejumlah 2,149 pelajar baharu bagi sesi pengambilan 2022/2023 yang terdiri daripada 646 pelajar lelaki dan 1,503 pelajar perempuan. - KitaReporters


Sebahagian pelajar asnaf baharu yang terpilih menerima dermasiswa bergambar kenangan bersama Dr Mazlan (berdiri tengah)

6
16
1
10
0
You will be interested