Kampus & Pendidikan 07 Feb, 2021

Tolong kami! Bantu pelajar IPT! Semakin ramai rasa tertekan, alami kemurungan belajar online!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Kredit foto: Bernama


SEMENJAK hampir setahun penularan Covid-19 di negara kita, pembelajaran online menjadi cara terbaik pihak universiti dan sekolah menjalankan aktiviti penyampaian ilmu bagi mengekang wabak berkenaan menular. Inilah norma baharu yang perlu dilakukan dalam sistem pendidikan kita supaya pendidikan berterusan dapat dijalankan walau dalam keadaan yang sukar dan sangat tidak kondusif bagi beberapa pihak dan pelajar khususnya. 

Pada peringkat universiti, pembelajaran online diadakan dari pagi sehingga malam. Disebabkan jadual waktu yang agak padat dan sangat membebankan pelajar, ada antara mereka mengalami kemurungan dan tekanan yang agak membimbangkan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Menara Gading:

https://kitareporters.com/menara



Dalam kajian rambang secara online yang dilakukan oleh penulis terhadap 100 pelajar universiti di Shah Alam mendapati 40 peratus pelajar universiti berkenaan mengaku mereka mengalami tekanan kerana pembelajaran online

Ada juga yang sudah mengalami kemurungan dan mendapat bantuan kaunseling serta rawatan dari klinik psikology.  Selebihnya tidak mengalami tekanan yang teruk tapi merasakan pembelajaran online masih sukar dilaksanakan dan mereka dalam proses penyesuaian.


Kredit foto: hellodoktor.com


Dapatan kajian itu mendapati, faktor utama yang menyebabkan tekanan dan kemurungan ialah capaian internet dan pemilikan atau memperoleh peranti atau gajet untuk proses pembelajaran

Daripada masalah internet dan peranti ia juga berkait rapat dengan masalah2 lain yang turut menyumbang kepada masalah kemurungan dan tekanan terhadap pelajar universiti. 

Antaranya masalah persekitaran pembelajaran di rumah yang kurang sesuai untuk pembelajaran, masalah tidak cukup peralatan dan keperluan pembelajaran umpamanya laptop (komputer riba) dan telefon pintar yang terpaksa dikongsi dengan adik beradik yang lain,  tiada komunikasi dua hala sebab mereka sukar untuk bertanya dan memahami sesuatu yang diajar, limitasi berkomunikasi dengan pensyarah, fokus dan tumpuan pelajar agak singkat sebab terlalu lama tengok skrin.

Faktor lain termasuk persekitaran pembelajaran yang tidak kondusif dan tenang, keluarga tidak memahami, masalah kewangan, tak ada duit untuk topup dan beli SIM kad, kurang sokongan fizikal, iaitu tidak dapat berinteraksi dengan rakan2 sekelas melalui perbincangan semuka, tidak bersemangat belajar kerana belajar seorang depan komputer, cepat penat sebab bosan di depan komputer seharian, tekanan terhadap deadline, sukar memahami pelajaran dengan lebih terperinci.


Kredit foto: Berita Harian


Masalah kemahiran menggunakan komputer melibatkan antaranya tidak berapa mahir untuk membuat presentation melalui aplikasi meet dan Google class. 

Pelajar memberitahu bukan semua pelajar mahir dan tahu menggunakan aplikasi terkini, jadi jika mereka kurang mahir mengendalikan komputer, potensi untuk ketinggalan dalam pelajaran akan ada, ini membuatkan mereka sangat bimbang terhadap masa depan mereka penerimaan pensyarah terhadap kebolehan dan prestasi mereka.

Selain itu tekanan daripada pensyarah juga antara sebab pelajar rasa tertekan kerana ada pensyarah yang tak memahami masalah pelajar yang sudah terlalu banyak dibebani dengan ujian, tugasan (assingment) dan laporan makmal

Ada pensyarah yang terlalu rigid yang mahukan semua tugasan itu dihantar dan dibuat dalam masa satu minggu yg sama. Terdapat juga pensyarah yang mengambil masa rehat atau cuti hujung minggu untuk buat kelas menyebabkan pelajar tidak dapat rehat. 

Masalah pengangkutan bagi mereka yang tinggal di luar bandar dan kawasan yang tiada capaian internet juga turut memberi tekanan pada pelajar universiti berkenaan.


Kredit foto: meldmagazine.com.au


Dalam satu temu ramah online dengan seorang pelajar perempuan dari Kota Merudu Sabah, beliau memberitahu setiap hari dia perlu menaiki motor sejauh 10 km dari kampungnya yang tidak mempunyai akses internet untuk ke pekan bagi memulakan pembelajaran online seawal 8 pagi. 

Sewaktu musim tengkujuh bila hujan lebat adakalanya line di sana juga terlalu lembab, kadang pembelajaran juga terganggu. Bila ini terjadi beliau rasa sedih kerana tidak dapat mengikuti kelas. 

Selain itu jika cuaca tidak elok, beliau berhadapan masalah untuk keluar ke pekan kerana kampungnya di kawasan pedalaman yang tidak ada jalan tar dan lecak jika hujan menyukarkan perjalanannya ke pekan.

Selain itu dalam temu ramah dengan seorang pelajar lelaki dari kawasan pedalaman di Pengkalan Kubor, Kelantan memberitahu dia terpaksa melalui laluan kampong yang serba becak dan jalan dalam hutan untuk sampai ke pekan terdekat untuk mendapat capaian internet. 

Kelas pula bermula seawal 8 pagi hingga 6 petang adakalanya pensyarah melanjutkan kelas hingga jam 7 petang. 

Masa nak balik dia sekali lagi terpaksa melalui pelbagai halangan dan keesokan harinya melalui rutin yang sama. 

Ada juga pelajar di Sarawak yang terpaksa menyeberang sungai untuk mencari capaian internet yang baik untuk menghadiri kelas online. 

Apa pun capaian internet bukan sahaja agak lembab di kawasan pedalaman tetapi agak memeranjatkan masalah ini juga berlaku di kawasan Lembah Klang dan kawasan bandar. 


Kredit foto: soyacincau.com


Selain masalah capaian internet, ada juga pelajar yang memberitahu mengenai masalah keluarga yang tidak memahami mengapa mereka perlu berkurung 24 jam dalam bilik untuk kelas online

Seorang pelajar memberitahu, ibunya kerap memarahi beliau jika tidak mahu membantu dengan kerja2 rumah, sedangkan dia terbeban dengan banyak tugasan dan pelbagai arahan daripada pensyarah yang mahukan tugasan disiapkan mengikut waktu yang tertentu. 

Pelajar berkenaan sudah pun memberitahu ibunya mengenai masalah pembelajarannya yang agak padat namun disalahertikan sebagai suka curi tulang duduk depan komputer bermain game. Disebabkan itu pelajar ini mengalami tekanan dan sering menangis.



Berdasarkan apa yang diceritakan oleh pelajar-pelajar berkenaan tidak hairan ada pelajar yang terus hilang minat untuk belajar dan mengalami kemurungan kerana tekanan daripada dua pihak yang sangat penting dalam hidup mereka. Bila mereka tertekan semangat untuk belajar mula luntur dan ada antaranya mahu berhenti belajar. 

Satu lagi faktor yang membuatkan pelajar murung dan tertekan ialah apabila terlalu lama mengadap komputer dan kadangkala susah nak faham pembelajaran melalui online yang lebih kepada komunikasi sehala.

Disebabkan masalah-masalah yang dijelaskan di atas pelajar merasa tertekan dan melepaskan kemarahan pada diri sendiri dan keluarga, 

Ada juga yang rasa bimbang terhadap masa depan mereka sehingga tidak tidur sebab takut mereka tidak mencapai standard yang dikehendaki pensyarah sebagai pelajar universiti. Ada yang bergaduh dengan adik beradik dan ibu bapa, ada yang bersikap ganas di rumah. 

Masalah kemurungan dan tekanan dalam kalangan pelajar universiti ini sangat membimbangkan. Amatlah merugikan pihak universiti jika ramai pelajar yang berpotensi mengalami kemurungan dan gagal dalm pelajaran mereka kerana norma baharu ini.


Kesimpulannya kemurungan dan tekanan yang dialami pelajar universiti tidak boleh dianggap remeh oleh masyarakat, kementerian dan pihak universiti. 

Ini kerana masalah ini melibatkan asset negara yang satu masa nanti bakal menerajui kepimpinan Negara dan membangunkan negara kita. Satu kajian terperinci perlu dijalankan oleh pihak-piha tertentu mengenai masalah ini. 

Walaupun secara umumnya pihak universiti telah cuba membantu ramai pelajar yang bermasalah dengan pelbagai kaedah terbaik dalam pembelajaran pada waktu pendemik ini, pihak lain seperti pensyarah dan kakitangan universiti serta mereka daripada kementerian perlu menghalusi masalah yang sedang dihadapi semua pelajar untuk memudahkan mereka melalui norma baharu dalam pembelajaran secara online.



Diharap tidak ada pihak tertentu yang mengecam kajian rambang penulis kerana kajian ini perlu diperhalusi dan diperbaiki untuk mendapat jawapan yang lebih mantap dari responden. 

Marilah kita bersama-sama membantu pihak universiti mempermudahkan proses pembelajaran online dan mengurangkan masalah kemurungan dan tekanan yang dihadapi pelajar universiti. 

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta mereka yang terlibat secara langsung diharap dapat membantu pihak universiti untuk merealisasikan pembelajaran online secara norma baru ini. 

Semoga kerja sama mantap daripada kementerian yang berkaitan dan pihak universiti serta pihak2 lain yang terlibat dapat memudahkan semua pihak bukan saja pelajar tapi mereka yang terlibat secara langsung dengan pembelajaran online ini. - KitaReporters


0
0
3
0
0
You will be interested