Kampus & Pendidikan 01 Feb, 2026

Dari kampus ke pasaran! Jenama CeriteRaya uji keusahawanan mahasiswa MPP UiTM! Jual kuih dan hamper!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus memacu pembangunan kemahiran keusahawanan mahasiswa dengan kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan dan rakan industri melalui pelancaran jenama kuih raya ‘CeriteRaya’.

Dari kiri: Syed Nasser Hussain, Dr. Hassan Saad, Mustaffa Kamil Ayub, Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali dan Dr. Badrul Isa. - Kredit foto: FAS.


Inisiatif yang diterajui Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) serta DMG Food Industries itu merupakan langkah strategik dalam memperkasa agenda keusahawanan mahasiswa, dengan pendekatan yang beralih daripada simulasi kepada pelaksanaan perniagaan sebenar.

“Hubungan antara universiti dan industri telah lama terjalin, namun kali ini UiTM memilih mahasiswa MPP sebagai penggerak utama kerana mereka merupakan kumpulan contoh dalam kalangan pelajar.

“Dengan kekuatan lebih 200,000 warga UiTM di seluruh negara, termasuk pelajar dan kakitangan, sasaran 5,000 pek bukan sesuatu yang mustahil, khususnya melalui pelaksanaan sistem rangkaian ahli gabungan (affiliate) di 13 kampus UiTM seluruh Malaysia,” kata Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) MASMED, Prof. Madya Dr. Badrul Isa pada majlis pelancaran ‘CeriteRaya’ yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub serta mendapat sokongan Bank Rakyat.

(INSKEN) bersama Bank Rakyat  memainkan peranan penting dalam menyediakan bimbingan teknikal bagi memastikan pengurusan aliran tunai dan operasi perniagaan dilaksanakan mengikut piawaian industri.

Turut hadir antaranya Pengerusi DMG Food Industries, Datuk Dr. Hassan Saad; Yang Dipertua MPP UiTM Shah Alam, Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali dan Syed Nasser Hussain selaku Naib Presiden Eksekutif Perhubungan Perniagaan Kerajaan & Antarabangsa, Bank Rakyat serta Cef Zainal.



Gimik pelancaran...Mustaffa Kamil (tiga dari kiri) bersama tetamu kehormat lain menghiasi 'topping' pada kek cawan yang disediakan sebelum ia dipancarkan ke layar skrin di belakang.


Berkongsi lanjut, Dr. Badrul memaklumklan MPP dipilih sebagai platform utama kerana para mahasiswa yang terlibat menunjukkan kepimpinan yang cemerlang serta kemampuan mengendalikan perniagaan secara praktikal. 

“Projek ini menampilkan produk yang dimiliki bersama antara mahasiswa dan rakan industri, termasuk konsep perkongsian modal dan produk. 

"Ini menandakan kali pertama MPP melaksanakan inisiatif di mana mahasiswa bukan sahaja mempelajari teori tetapi turut memimpin pembangunan jenama sendiri,” jelas Dr. Badrul.

Menurut beliau, inisiatif ini bukan sekadar projek jualan, tetapi juga platform pendidikan yang mengasah kepimpinan, kreativiti, dan daya usahawan mahasiswa.


Contoh 'CeriteRaya' yang boleh dijadikan hamper sebagai cenderamata  dan jualan sepanjang tahun melangkaui musim perayaan. 


Sementara itu, Dr. Hassan menyatakan komitmen pihaknya untuk memberikan sokongan pengeluaran tanpa had bagi memenuhi permintaan pasaran yang dijangka meningkat.

“Perbincangan awal bermula dengan sasaran 1,500 pek sebelum dinaikkan kepada 5,000 pek. Berdasarkan impak dan kesungguhan mahasiswa yang terlibat, DMG bersedia menyokong sepenuhnya kapasiti pengeluaran mengikut keperluan,” katanya.

Selain aspek jualan, mahasiswa turut didedahkan dengan modul latihan profesional merangkumi kursus pengendalian makanan, pengurusan akaun serta strategi pemasaran digital. 

Dengan pelancaran produk baharu berkenaan, ia diharapkan menjadi model pembangunan usahawan mahasiswa yang berkesan, sekali gus menyokong visi negara untuk melahirkan rakyat Malaysia berjiwa keusahawanan menjelang 2030.

'CeriteRaya' turut dirancang untuk dikembangkan sebagai produk hamper sepanjang tahun, sekali gus memperluas impak pasaran melangkaui musim perayaan dan memartabatkan kuih serta biskut tempatan pada mata dunia. - KitaReporters



10
11
0
15
0
You will be interested