Program Bimantara anjuran pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengurusan Komunikasi dan Polisi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), telah berjaya menyumbangkan RM12,500 melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Inisiatif kebajikan yang disumbangkan menerusi program Bimantara: Bersama Menyemai Kasih itu mengagihkan bantuan kepada enam buah rumah kebajikan.
Antara penerima sumbangan termasuk Rumah Aman, Rumah Kasih Harmoni, Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh, Rumah Bakti Nur Ain, dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh serta Pusat Sumber Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam.
Usaha murni pelajar tahun akhir ini juga mendapat perhatian dan sokongan penuh daripada Kementerian Luar Negeri yang menganggap program Bimantara ini satu inisiatif yang menyantuni golongan yang kurang bernasib baik melalui pendekatan berbeza daripada yang lain.
Ia bukan sekadar memberi wang, tetapi membuka minda kanak-kanak tentang dunia luar, membina keyakinan diri mereka untuk masa depan yang lebih cerah.
Penasihat Program Bimantara, Dr. Nurul Atiqah Mohd Azlan berkata, pelaksanaan sumbangan itu merupakan dana yang dikumpul dan diperolehi oleh jawatankuasa Bimantara untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
“Sumbangan yang diagihkan kepada rumah-rumah kebajikan ini merupakan hasil daripada kutipan dana yang dilaksanakan oleh jawatakuasa Bimantara untuk membantu meringankan beban bagi kegunaan rumah-rumah kebajikan termasuklah bantuan makanan serta keperluan harian penghuni rumah kebajikan.
“Saya percaya, melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, kita sama sama dapat membantu mereka yang memerlukan, menerapkan nilai tolong-menolong serta menjadi nilai tambah untuk diri terutama buat pelajar-pelajar yang akan melangkah ke alam pekerjaan tidak lama lagi.
“Sebahagian sumbangan kepada Pusat Sumber FKPM ini, saya percaya bahawa para pelajar menginginkan fasiliti dan persekitaran yang kondusif, dan kami berharap sumbangan ini dapat memberikan manfaat berpanjangan kepada pengunjung pusat sumber supaya mereka lebih selesa untuk menimba ilmu.
“Melalui program seperti ini juga, nilai-nilai kebersamaan dan kasih sayang dalam masyarakat sedikit sebanyak dapat mengukuhkan lagi hubungan kemasyarakatan antara UiTM dan rumah rumah kebajikan," kata Dr. Nurul Atiqah.
Peserta program Bimantara yang terdiri daripada pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) FKPM UiTM bergambar kenangan bersama warga Rumah Aman selepas majlis penyampaian sumbangan wang tunai.
Muhammad Umar Izuan, Pengarah Program Bimantara ini pula menyatakan rasa syukur di atas peluang dan ruang serta kepercayaan yang diberikan dalam mengendalikan program tersebut serta menjadi pihak terpenting dalam menyalurkan dana tersebut.
Menurutnya, program ini pada asalnya hanyalah merupakan tugasan bagi memenuhi keperluan kursus CMP601 (Pengurusan Komunikasi Strategik), namun, ia menjadi lebih besar daripada yang dirancang.
“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan kolaborasi, penyumbang, penaja, Ahli Jawatankuasa Bimantaradan seluruh warga kerja yang terlibat,” katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media