Kampus & Pendidikan 16 Jul, 2025

UIS catat sejarah! Tengku Permaisuri Norashikin jadi Canselor pertama! 2 Pro Canselor dapat watikah!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

Tengku Permaisuri Norashikin akan dimasyhurkan sebagai Canselor pertama UIS


TANGGAL 19 Julai 2025 mencatat sejarah tersendiri apabila Universiti Islam Selangor (UIS) akan mengadakan Istiadat Pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman sebagai Canselor yang pertama.

Pada tarikh yang sama, UIS turut mengadakan Istiadat Konvokesyen ke-27 selama tiga hari.

Naib Canselor UIS, Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata pelantikan itu akan memperkukuh kepimpinan tertinggi universiti dalam mendokong aspirasi kecemerlangan akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

Beliau berkata, sempena majlis itu, UIS akan juga menyerahkan watikah pelantikan Pro Canselor I iaitu Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Salehuddin Saidin dan Ahli Dewan Diraja Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa sebagai Pro Canselor II.


Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah


"Istiadat Konvokesyen ke-27 akan diadakan selepas tamat Istiadat Pemasyhuran dan ia membabitkan 1,528 graduan. Majlis akan berlangsung dalam lima sidang. 

"Sidang utama dinamakan Sidang Canselor yang akan disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Sidang Dua hingga Lima bermula 20 dan 21 Julai 2025," katanya pada Majlis Hi-Tea UIS Bersama Rakan Media 2025 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Beliau berkata, selama 30 tahun, UIS membina asas kukuh dalam melahirkan graduan berilmu, berintegriti dan berdaya saing. Ia menjadi wadah pembangunan intelektual dan rohani, menjunjung nilai Islam, memperkasa komuniti dan menyumbang aktif kepada pembangunan negeri dan negara.


Salehuddin Saidin sebagai Pro Canselor I


"Kini dengan gelaran universiti, UIS menggalas tanggungjawab lebih besar sebagai pemangkin perubahan, pusat kecemerlangan ilmu dan penyelidikan selain peneraju dalam memperkasa pendidikan Islam yang relevan dengan realiti semasa.

"Pemasyhuran ini adalah simbol kebanggaan bersama termasuk buat alumni, mahasiswa, pensyarah, kakitangan dan seluruh warga universiti. Ia adalah manifestasi identiti UIS yang terus kekal unggul, berpaksikan ilmu, berteraskan akhlak dan berorientasikan ummah.    


Mohamad Adzib Mohd Isa sebagai Pro Canselor II.


"Mengikut tradisi, peranan baginda akan mengangkat imej UIS pada peringkat nasional dan internasional, dengan memfokus pada peningkatan mutu akademik, penyelidikan dan penglibatan masyarakat," katanya.

Dr Farid berharap kehadiran Tengku Permaisuri Selangor dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti dan industri, NGO serta agensi kerajaan, selari dengan semangat inklusif dan inovasi yang pernah dicurahkan oleh baginda sebagai Pro Canselor UiTM sebelum ini.

Beliau berkata, dari 1998 hingga 2024, jumlah graduan yang dihasilkan oleh UIS seramai 31,000 pelajar  termasuk 1,528 graduan di Istiadat Konvokesyen ke-27 pada 19-21 Julai 2025. - KitaReporters


Sebahagian wakil media yang hadir sempena Majlis Hi-Tea UIS Bersama Rakan Media 2025 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor.

22
14
0
10
0
You will be interested