Mustapha Sakmud melakukan gimit penutupan Program University to Community (UTC) 2.0 di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim pada 18 Disember 2024.
PROGRAM University to Community (UTC) 2.0 berpotensi sebagai pemangkin kepada usaha kerajaan memperkasakan agenda keusahawanan dalam kalangan mahasiswa, selain menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud,
berkata program itu membuktikan kolaborasi berimpak tinggi antara kerajaan,
institusi pengajian tinggi (IPT), industri dan komuniti setempat, seperti yang
digariskan dalam Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi
(PTK-IPT) 2021–2025.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan
Program University to Community (UTC) 2.0 anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran
Graduan (EDGE) UPSI di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, pada 18 Disember 2024.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin; Pengarah EDGE UPSI, Profesor Madya Dr Sharul Effendy Janudin.
Mustapha merakam kenangan bersama pemenang anugerah.
Menurutnya, keusahawanan adalah satu daripada teras penting
dalam pembangunan IPT dan melalui program seperti UTC 2.0, diyakini dapat
melahirkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja bersedia untuk mencipta
peluang pekerjaan tetapi turut menyumbang kepada ekonomi negara secara
langsung.
“Sehingga kini, lebih 150,000 mahasiswa terbabit dalam
aktiviti keusahawanan di kampus, manakala lebih 10,000 graduan IPT memilih
untuk menjadi pencipta pekerjaan (‘job creator’) selepas tamat pengajian. Ini
satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian
Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Institut Keusahawanan
Negara Berhad (Insken) dan memberi tumpuan kepada bidang keusahawanan sosial, di
mana elemen teknologi dan inovasi diterapkan untuk menyelesaikan cabaran
komuniti.
Lebih 420 peserta dari pelbagai IPT termasuk universiti awam
dan swasta, membentangkan 21 projek perniagaan yang melalui proses validasi dan
membabitkan lebih 1,000 ahli komuniti, termasuk golongan asnaf, pesara tentera
dan OKU yang sudah dibantu sama ada melalui peluang pekerjaan atau peningkatan
pendapatan.
“Pendekatan ini penting untuk merakyatkan IPT, malah kita mahu komuniti setempat merasai impak langsung daripada hasil penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan di universiti,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PKT Logistics Group Sdn Bhd atas sumbangan dana berjumlah RM50,000 yang disalurkan kepada 20 syarikat pelajar, dengan RM20,000 sebagai dana pemula dan RM30,000 sebagai dana pemacu.
“Sokongan sektor swasta adalah elemen kritikal dalam memastikan kejayaan program keusahawanan di IPT dan hubungan erat antara sektor swasta dan IPT akan melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga bersedia menyumbang kepada industri melalui inovasi boleh dipercayai pada masa hadapan,” jelasnya.
Beliau turut memuji usaha beberapa perusahaan sosial (social enterprise) di Malaysia seperti EcoKnight dan Biji-biji Initiatives yang mengintegrasikan teknologi dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam model perniagaan mereka.
“Kita berharap perusahaan sosial yang lahir daripada IPT akan terus maju dan menyumbang kepada agenda Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030,” ujarnya lagi.
Pasukan UM memenangi kategori Pembentangan Terbaik yang membawa pulang hadiah RM2,000.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, menyifatkan pemilihan UPSI sebagai penyelaras program keusahawanan peringkat nasional itu sebagai satu penghormatan besar kepada universiti berkenaan.
“Sebagai tuan rumah, UPSI amat berbesar hati dapat menerima
kunjungan daripada wakil 18 universiti awam, politeknik, kolej komuniti serta
universiti swasta yang bersama-sama menjayakan program ini,” katanya.
Beliau berkata, program UTC 2.0 dapat membentuk mahasiswa
yang bukan sahaja mampu berdikari tetapi juga bertindak sebagai pemangkin
kepada pembangunan komuniti.
“Kolaborasi strategik antara mahasiswa dan komuniti bukan
sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga menyumbang kepada peningkatan
produk dan perkhidmatan yang lebih relevan dengan kehendak pengguna.
“Melalui usaha yang konsisten, program ini sudah meletakkan
UPSI sebagai peneraju dalam keusahawanan sosial pada peringkat IPT,” katanya lagi.
Pada majlis itu Mustapha turut menyampaikan anugerah kepada
universiti yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kategori dipertanding sempena program UTC 2.0.
Bagi kategori Pembentangan Terbaik dimenangi Universiti Malaysia (UM), Pempamer Terbaik (Universiti Utara Malaysia), Projek Terbaik dirangkul oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan bagi Anugerah Khas Juri diraih oleh Kolej Komuniti Beaufort. - KitaReporters