Kampus & Pendidikan 28 Jul, 2024

UMT tuan rumah Nexsum 2024! Cari solusi baharu dalam usaha lindungi alam sekitar peringkat global!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this


Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya menjadi tuan rumah bagi penganjuran persidangan antarabangsa Nexus Summit: Sustainability in a Changing World atau Nexsum 2024.

Seminar yang berlangsung selama empat hari itu disertai kira-kira 100 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Taiwan, China, Rusia dan lain-lain.

Nexsum 2024, yang berlangsung dari 24 hingga 27 Julai 2024 itu mengangkat isu global yang menjadi tumpuan utama dunia seperti pelepasan karbon, alam sekitar, kecukupan makanan, tenaga dan perubahan iklim.  

Pengerusi Nexsum 2024, Prof. Dr. Ikhwan Abdullah menyifatkan penganjuran itu sebagai usaha UMT dalam membawa peranan negara ke arah kelestarian global.

“Peserta terdiri daripada ahli akademik, pakar industri dan pembuat dasar dari pelbagai negara, menjadikan persidangan ini satu platform penting untuk pertukaran idea dan pengetahuan,” katanya ketika ditemui usai majlis perasmian pembukaan Nexsum Summit 2024 di kampus UMT, Gong Badak pada 24 Julai 2024. 



Beliau yang juga Pengarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (Akuatrop) UMT berkata, antara topik yang dibincangkan termasuklah strategi pengurangan pelepasan karbon, teknologi hijau dan pendekatan inovatif untuk memastikan kecukupan makanan kesan daripada perubahan iklim global.

“Selain itu, ada sesi yang membincangkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan bagaimana tindakan atau kaedah terbaik serta peluang kerjasama merentasi negara untuk mencapai matlamat kelestarian alam sekitar," katanya.

Tambahnya, persidangan itu membuka peluang luas kepada akademia dalam mengembangkan potensi kajian dan penyelidikan selain percambahan idea-idea baharu yang turut dikongsi oleh rakan penyelidik dari luar negara.

Sementara itu, Dr. Mikhail Kurushkin, Dekan Fakulti Biotechnology ITMO University, Rusia antara peserta Nexsum 2024.

“Saya berbesar hati untuk menyertai Nexsum 2024 sebagai penceramah pleno mengenai topik yang berkaitan dengan pendidikan dan bagaimana pendidikan sebenarnya boleh membantu kita untuk mewujudkan kemampanan sejagat tanpa mengira bidang yang anda ceburi sama ada bioteknologi marin, sama ada biodiversiti dan lain-lain. 

“Universiti yang hebat ini, UMT saya tahu bahawa ia adalah universiti yang sangat penting bagi Malaysia kerana ia mempunyai pendekatan yang berbeza untuk meramalkan lautan serta menyelamatkan pelbagai jenis spesies lautan dan itulah sebabnya kita perlu menjadikan universiti ini lebih terkenal, malah lebih terkenal," katanya lagi.

Nexsum 2024 merupakan platform yang memberi bermanfaat dalam mencari solusi baharu dalam usaha untuk melindungi alam sekitar di peringkat global. - KitaReporters/Kenyataan Media


7
10
0
13
0
You will be interested