Kampus & Pendidikan 11 Jul, 2024

Bantuan untuk anak sulung B40! UPSI laksana program Siswa Sulung 2.0! Tingkatkan ketrampilan diri!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Prof Md Amin Md Taff (depan) melakukan gimik perasmian Pelancaran Program Siswa Sulung 2.0 UPSI di Dewan Banquet, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, pada 9 Julai 2024. 


MAHASISWA Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, yang terlibat dengan program Siswa Sulung 2.0 disaran meningkatkan ketrampilan dalam tiga aspek bagi menghadapi cabaran kehidupan selepas bergraduat.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berharap semua mahasiswa di bawah program berkenaan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa termasuk bahasa antarabangsa bagi menyerlahkan ketrampilan mereka.

“Mereka juga perlu menjadi benteng hadapan fakulti dalam menyerlahkan peranan kesukarelawanan sehingga menjulang nama fakulti masing-masing.

“Saya juga inginkan mahasiswa program ini menguasai pelbagai kemahiran seperti yang didedahkan oleh universiti sepanjang pengajian mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Program Siswa Sulung 2.0 di Dewan Banquet, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, pada 9 Julai 2024.


Prof Md Amin menyampaikan cek contoh kepada seorang pelajar penerima Program Siswa Sulung 2.0 UPSI.


Majlis anjuran Seksyen Kebajikan dan Perkhidmatan Pelajar (SKPP) Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) itu menyaksikan 116 mahasiswa yang kesemuanya anak sulung daripada keluarga kategori B40 menerima replika cek sumbangan pembiayaan pendidikan untuk menampung pengajian mereka.  

Prof Md Amin, berkata mahasiswa yang menerima pembiayaan setiap semester itu bukan menjadi sesuatu hak, tetapi amanah yang istimewa diberikan oleh Allah SWT ketika orang lain tidak memperolehinya.

Mahasiswa Program Sulung 2.0 mendapat manfaat pengecualian lima jenis yuran sebagaimana yang dipersetujui pihak pengurusan tertinggi universiti mengikut semester masing-masing yang berbeza dengan julat pembiayaan di antara RM72,000 sehingga RM90,000 mengikut bidang pengajian bagi keseluruhan 116 pelajar program Sulung 2.0.

Menurutnya, iltizam program Pembangunan Siswa Sulung (Sulung) berkenaan bermula pada 2022 hasil cetusan idea mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Sri Noraini Abdullah yang melihat akan pentingnya anak-anak sulung dalam keluarga yang pertama masuk ke universiti berstatus B40.


Prof Md Amin bersama-sama warga UPSI dan mahasiswa Program Siswa Sulung 2.0 UPSI.


“Saya yakin anak-anak mahasiswa B40 memiliki daya tahan yang tinggi dalam mengharungi cabaran sepanjang pengajian sehingga tamat pengajian.

“UPSI adalah antara lapan universiti awam yang terpilih untuk melaksanakan program Siswa Sulung di Malaysia demi kebajikan mahasiswa,” ujarnya. - KitaReporters

9
15
0
20
0
You will be interested